Wartakan sekolah asrama harian, MRSM hanya untuk orang miskin

Wartakan sekolah asrama harian, MRSM hanya untuk orang miskin

Kerajaan perlu mewartakan institusi pendidikan tersebut khusus kepada orang miskin dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan kembalikan objektif penubuhan sekolah asrama harian dan asrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada asas penubuhannya iaitu untuk menempatkan murid miskin di institusi pendidikan tersebut.

Bagi merealisasikan objektif penubuhan sekolah asrama harian dan asrama penuh, kerajaan perlu mewartakan institusi pendidikan tersebut khusus kepada orang miskin dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.

Pewartaan itu dilihat langkah terbaik bagi menoktahkan isu keciciran pembelajaran membabitkan 435,000 murid di sekolah rendah dan menengah pada tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, penubuhan asrama harian adalah hasil daripada laporan keciciran murid pada 1972 yang ketika itu isu tersebut sangat membimbangkan.

Katanya, punca keciciran pada dasarnya adalah disebabkan kemiskinan selain disumbangkan oleh faktor lain seperti rumah jauh dari sekolah dan sebagainya.

Bagaimanapun, katanya, selepas lebih 50 tahun, sekolah berasrama di negara sudah bercampur bukan hanya khusus kepada murid miskin sahaja malah turut menempatkan anak pegawai tinggi kerajaan.

“Sekolah berasrama tidak disediakan atas asas pendidikan kepada semua murid, ia dibina untuk kumpulan yang memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk mendapatkan pelajaran dalam suasana kondusif dan diet pemakanan lebih baik.

“Perlu faham bahawa murid miskin ini jika berada di rumah mungkin mereka tidak mendapat makanan sihat, keadaan pembelajaran juga tidak kondusif kerana faktor kemiskinan, sebab itulah sekolah berasrama ditubuhkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anuar di dalam cadangannya kepada kerajaan dalam Belanjawan 2025, menggariskan keperluan untuk Asrama Harian diwartakan sebagai institusi bantuan pendidikan untuk hanya kepada murid miskin manakala Sekolah Asrama Penuh dan MRSM diwartakan sebagai institusi bantuan pendidikan untuk murid miskin yang berprestasi paling cemerlang.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, pewartaan sekolah berasrama harian dan asrama penuh untuk golongan miskin bukanlah diskriminasi kepada murid kaya sebaliknya bagi menangani masalah keciciran yang sedang berlaku di kalangan masyarakat.

“Asrama tidak disediakan untuk semua murid, ia dibina untuk golongan memerlukan bantuan, jadi dalam kalangan anak orang kaya yang mampu dan cemerlang, mereka boleh terus belajar di rumah dalam keadaan cemerlang.

“Mereka ini mempunyai persekitaran kediaman yang baik, kondusif dan selesa untuk belajar. Pada masa sama, ibu bapa mampu sediakan diet pemakanan sihat sedangkan perkara ini tidak berlaku kepada murid miskin,” katanya.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, asrama yang dibina oleh kerajaan adalah untuk membantu murid miskin mendapatkan pendidikan kerana mereka ini berisiko tinggi untuk mengambil keputusan drastik seperti berhenti sekolah disebabkan keadaan ekonomi keluarga.

“Tujuan pendidikan bukan untuk memberi kelebihan pada mana-mana pihak tetapi membantu golongan memerlukan yang pada akhirnya menjadi alat memajukan murid miskin.

“Pewartaan ini memerlukan kita melihat daripada perspektif lebih luas, bukan sekadar isu siapa bayar cukai tinggi atau tidak, kerana asrama ditubuhkan untuk membantu orang miskin keluar dari kepompong kemiskinan dengan menyediakan Pendidikan lebih baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya