PETALING JAYA: Penganjuran sebuah acara tribute menghimpunkan peminat bagi meratapi pemergian bekas anggota kumpulan One Direction, Liam Payne mengundang perdebatan ramai.
Acara berkenaan mencuri tumpuan sejak poster majlis memaparkan wajah Payne berwarna hitam putih menjadi tular dikongsikan beberapa stesen radio tempatan.
Bagaimanapun, lokasi acara yang berlangsung selama dua hari iaitu 26 dan 27 Oktober itu tidak didedahkan.
“Silakan bawa gambar, bunga, surat, belon, lilin, lentera, patung dinosaur atau apa sahaja yang awak mahu tinggalkan buat Liam,” tulis maklumat dalam poster tersebut.
Pelbagai respons diberikan warganet berhubung acara itu yang rata-ratanya mempersoalkan niat penganjuran majlis tersebut.
“Kalau dia mati bukan sebaba dadah sekalipun, apa keperluan kita nyalakan lilin dan meratapi? ” tulis satu komen.
“Perlukah ada acara seperti ini? Dia pula mati akibat dadah,” kata komen yang lain.
“Pelik juga acara begini dianjurkan,” kata yang lain.
Terdahulu, Payne disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga di sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina 16 Oktober lalu.
Laporan bedah siasat mendapati penyanyi tersebut mengambil dadah campuran methamphetamine, ketamin dan lain-lain.
Turut ditemui di bilik hotel ialah paip aluminium buatan sendiri bertujuan mengambil dadah jenis kokain dan benzodiazepin. -UTUSAN