Warga Pakistan cuba rasuah pengawai polis didenda RM5,000

Warga Pakistan cuba rasuah pengawai polis didenda RM5,000

GUL Siraj (kiri) dibawa oleh pegawai SPRM untuk didakwa atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM200 kepada pegawai polis di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang warganegara Pakistan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan rasuah sebanyak RM200 kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor di premisnya di Kuala Krai, Isnin lalu.

Tertuduh, Gul Siraj, 51, yang merupakan pemilik kedai alat ganti kereta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan sebanyak RM200 kepada pegawai polis untuk tidak menahan seorang pekerjanya yang juga warganegara Pakistan.

Pekerja terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna permit kerja.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Tok Bok, Jalan Kuala Krai, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 9.30 pagi pada 21 Oktober lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Ermi Yasmin Abd. Momen, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azrul Hasyimi Mohamad.

Terdahulu, Mohd. Azrul Hasyimi memohon hukuman denda minimum berikutan kerjasama yang telah diberikan selain anak guamnya sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. 

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara 21 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemilik premis alat ganti kenderaan warga Pakistan ditahan selepas cuba merasuah anggota polis ketika pemeriksaan dilakukan di premisnya di Kampung Tok Bok pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai memeriksa premis berkenaan kerana disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya