Warden asrama berkait GISBH didakwa lakukan amang seksual

Warden asrama berkait GISBH didakwa lakukan amang seksual

MUHAMMAD Miqdam Muhammad Amir (dalam bulatan merah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang warden asrama yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Hol­dings (GISBH) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan me­lakukan amang seksual terhadap seorang budak lelaki kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai warden asrama yang mempunyai hubungan amanah terhadap mangsa te­lah melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan kanak-kanak lelaki itu yang ketika kejadian berumur 13 tahun.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Rumah Jagaan Harapan Al-Mahabbah, Jalan Bagan Buaya di Nibong Tebal dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS), kira-kira pukul 12 tengah malam pada 11 Julai 2022.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta dikenakan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain.

Terdahulu, ketika prosiding, Naqeiya memohon mahkamah benarkan jaminan paling minimum memandangkan tertuduh kini bekerja sebagai penghantar barang dan tidak ada pendapatan bulanan yang tetap serta perlu menjaga ibu bapanya.

Zulhazmi membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya