PETALING JAYA: Seorang wanita mengalami kerugian RM3,000 selepas rantai loket miliknya diragut seorang lelaki yang berpakaian seakan penghantar makanan dalam kejadian di Taman Universiti Indah, Sri Kembangan dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 1 petang apabila mangsa berusia 37 tahun berada di kaki lima sebuah kedai.
Katanya, suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 warna biru telah meragut rantai berloket milik mangsa bernilai RM 3,000.
Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Susulan itu, polis membuka satu kertas siasatan berhubung kes ragut itu.
“Kita masih giat mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes ini. Kes siasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular video berdurasi 52 saat memaparkan seorang wanita diragut seorang lelaki yang berpakaian seakan penghantar makanan. – UTUSAN