DUNGUN: Seorang wanita yang disyaki merempuh dua buah motosikal sehingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun di Jalan Pantai berhadapan universiti itu, di sini, Rabu lalu, disambung reman selama dua hari bermula esok
Terdahulu, wanita berusia 49 tahun yang dipercayai mempunyai masalah mental ditahan reman selama empat hari berakhir hari ini bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Wanita tersebut yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di Mahkamah Majistret di sini denganmenaiki trak polis pada pukul 8.45 pagi.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Sementara, suami wanita itu yang berusia 53 tahun dan beberapa ahli keluarga turut menunggu ketibaan orang yang disayangi itu di pekarangan mahkamah tersebut.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan memberitahu, dalam kemalangan pada pukul 7.35 petang itu, wanita terbabit yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV telah merempuh dua motosikal yang dinaki empat pelajar berkenaan yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampus tersebut.
Menurutnya, tiga mangsa yang maut itu ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25.
“Kesemua mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya, seorang lagi mangsa yang cedera parah iaitu Muhammad Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20, dikejarkan ke Hospital Hospital Dungun, di sini, untuk rawatan lanjut.
Semalam, suami mangsa yang berusia 53 tahun tampil membuat permohonan maaf kepada semua ahli keluarga yang terlibat bagi pihak isterinya.
Menurut bapa kepada tiga anak dan memiliki empat orang cucu itu berkata, isterinya mengalami kemurungan selepas dia koma selama empat hari setelah kandungannya yang keempat terpaksa digugurkan kerana mengandung di luar rahim pada 10 tahun lalu.
Katanya, dia tidak menolak kemungkinan isterinya mendengar bisikan sesuatu sebelum kemalangan tersebut kerana turut membawa dua pasang kasut dan beberapa helai baju.
Namun, keluarga tiga pelajar terbabit menerima permohonan maaf tersebut dan terdapat dalam kalangan keluarga tersebut tetap mahu mengambil tindakan undang-undang demi keadilan. – UTUSAN