Wanita Perancis berusia 81 tahun graduan tertua terima PhD

Wanita Perancis berusia 81 tahun graduan tertua terima PhD

CHRISTINE Rohani Longuet dikelilingi anak, cucu dan cicitnya di majlis konvokesyen UMT ke-22 di Kuala Nerus, hari ini.- UTUSAN/ KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Wanita berusia 81 tahun yang berasal dari Perancis menjadi graduan tertua yang menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di majlis konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke- 22 hari ini.

Christine Rohani Longuet adalah antara 89 graduan PhD yang diraikan dalam sesi pertama konvokesyen disempurnakan istiadatnya oleh Canselor UMT iaitu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Nenek kepada 26 cucu dan moyang kepada sembilan cicit itu berkata, kejayaannya itu membuktikan usia bukanlah halangan dalam mencari ilmu pengetahuan.

“Saya memulakan pengajian PhD dengan tesis bertajuk Places, Plants and People In The State Of Terengganu, Malaysia: An Assessment From Two Eras pada tahun 2014.

“Saya bersyukur kerana mendapat banyak sokongan daripada pensyarah serta keluarga sepanjang 10 tahun pengajian ini berlangsung.

“Walaupun mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkannya kerana kekangan masa, saya gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi hari ini disaksikan sebahagian anak, cucu dan cicit,” katanya ketika ditemui di UMT.

Sebelum ini, Rohani melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Sebelum itu, ketika berada di negara kelahirannya, Rohani memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sorbonne, Paris sebelum berhijrah ke Malaysia.

Rohani berkata, impiannya selepas ini adalah untuk menulis buku memoir kenangan sepanjang berada di bumi Terengganu sejak 51 tahun yang lalu.

“Saya mahu cucu cicit dan keturunan seterusnya tahu sejarah asal usul nenek moyang mereka dan bagaimana boleh berada di Malaysia setelah melalui pengembaraan dengan belayar jauh dari Perancis.

“Saya juga ingin meluahkan semua pengalaman dan kecintaan saya terhadap budaya, kesenian serta warisan tradisional untuk diterjemahkan dalam buku yang akan diterbitkan dalam tiga bahasa nanti iaitu bahasa Inggeris, Perancis dan bahasa Melayu,” katanya.

Rohani yang meminati bidang pelayaran datang ke Terengganu pada tahun 1971 kerana menempah kapal buatan tukang yang mahir dan akhirnya menetap di Pulau Duyong setelah berkahwin dengan penduduk tempatan, Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah.

Sejak itu, kisah hidupnya terkenal kerana menjadi wanita tunggal dari Perancis ketika itu yang mahir bertutur dalam dialek Terengganu dan sangat meminati bidang kesenian, warisan dan kebudayaan Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya