DUNGUN: Seorang pemandu wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada minggu lalu.
Tertuduh, Norizan Ismail, 49, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
kerana telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian.
Perdakwaan ke atas tertuduh dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, hadapan UiTM Kampus Dungun di sini pada 9 Oktober lalu, pukul 7.35 malam.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, merangkap Pengarah Pendakwaan Negeri, Azizan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Sepanjang prosedur tersebut, tertuduh yang berpakaian lokap berwarna oren dilihat dalam keadaan resah dan sugul.
Ketika berada di kandang tertuduh, Norizan menyatakan dirinya malu dan enggan berdiri ketika diminta jurubahasa untuk menyebut nama dan nombor kad pengenalannya.
Wanita yang mempunyai tiga anak itu bagaimanapun kemudiannya mengesahkan maklumat peribadinya yang ditayangkan di skrin televisyen mahkamah.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor selama sebulan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 November depan.
Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Dungun kira-kira pukul 8.40 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Tertuduh sebelum ini ditahan reman bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini.
Dalam kejadian itu, wanita tersebut yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula mengalami kecederaan. – UTUSAN