Wanita langgar pelajar UiTM didakwa cubaan membunuh - Utusan Malaysia

Wanita langgar pelajar UiTM didakwa cubaan membunuh

NORIZAN Ismail (dua, kanan) yang dituduh melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar UiTM dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun didakwa dengan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Norizan Ismail, 49, didakwa telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Wanita berkenaan yang juga suri rumah didakwa melakukan perbuatan itu Jalan Pantai, Kampung Sura Hujung berhampiran UiTM Kampus Dungun kira-kira 7.35 malam, 9 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda dan jika perbuatan itu mendatangkan cedera, boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail.

Terdahulu di Mahkamah Majistret Dungun, pagi tadi, tertuduh didakwa dengan tiga pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 KK.

Norizan kemudian diarahkan untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor.

Dalam kejadian 9 Oktober itu, tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus.

Nahas itu mengorbankan tiga pelajar, Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.

Muhammad Ammar Danish pula tercedera dan dirawat di Hospital Dungun sebelum dibenarkan keluar, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya