SHAH ALAM: Seorang wanita gelandangan warga Rusia akhirnya ditangkap selepas berkelana lebih empat tahun di negara ini dengan berkelakuan tidak senonoh.
Wanita berusia 32 tahun itu ditahan ketika sedang mengganggu lalu lintas di Jalan Setia Perdana, Seksyen U13, di sini, kelmarin oleh pasukan unit peronda polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 4.50 petang sebelum mengerakkan anggota ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.
“Semasa sampai di lokasi kejadian, polis mendapati perempuan tersebut bersama seekor anjing miliknya dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan ke atasnya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas perempuan tersebut mendapati tiada pengenalan diri yang sah tinggal di Malaysia.Tangkapan dibawa balik ke IPD Shah Alam manakala anjingnya diserahkan ke pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, siasatan bagaimanapun gelandangan tersebut tidak mempunyai rekod jenayah, namun ujian saringan air kencing mendapati wanita itu positif dadah jenis tetrahidrokanibinol (THC).
“Dia datang ke Malaysia sejak empat tahun yang lalu untuk melancong dan gagal untuk pulang ke negara asal kerana pandemic Covid-19 dan tidak mempunyai simpanan wang cukup untuk pulang.
“Wanita itu kemudian ditahan reman di lokap Shah Alam selama 14 hari bermula 9 Oktober sehingga 22 Oktober,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh dikenakan maksimum enam sebatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mohammad Shamsul Md. Salleh di talian 017-5453234,” ujarnya. – UTUSAN