KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di platform yang neutral.
Wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak mahu berdebat di platform milik Timbalan Presiden PKR tersebut.
“Saya nak tegaskan sekali lagi kepada Menteri Ekonomi, saya sedia berdebat dengan beliau di mana-mana platform yang bukan miliknya. Saya tidak mahu pergi ke program bual bicara podcast YBM atau ‘Yang Bakar Menteri’.
“Saya bersedia untuk bedebat tentang cetak wang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) (dan) Blackrock Inc. (BlackRock),” katanya semasa sidang media di Pusat Media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Rafizi membidas cabaran Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang mempelawanya berdebat di stesen televisyen arus perdana seperti perdebatannya dengan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Rafizi berkata, permintaan Wan Ahmad Fayhsal itu tidak wajar kerana kadar bayaran siaran di saluran television (TV) adalah sangat mahal.
“Debat dalam TV mahal. Kalau swasta, kena bayar ‘airtime’. Kalau RTM, rakyat bayar ‘airtime’. Sebab itu kalau nak debat sangat, debatlah di ‘podcast’ tak guna ‘airtime’ TV,” katanya di platform X, sebelum ini. – UTUSAN