PETALING JAYA: Pelakon filem Abang Adik, Jack Tan, tidak menyangka naskhah lakonannya dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa, Anugerah Akademi Ke-97 (Oscar), tahun hadapan.
Jack, 33, menganggap pemilihan ini adalah penghormatan besar yang diberikan Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Finas terhadap kerja keras seluruh pasukan dan kru filem Abang Adik.
“Semasa pengarah, Jin Ong maklumkan tentang perkara ini saya ingat dia sedang bergurau. Tidak sangka rupanya betul kami bakal mewakili Malaysia ke Oscar.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan dan bantuan daripada Finas Malaysia. Ini juga kali pertama Malaysia menghantar naskhah untuk anugerah Oscar menerusi filem berbahasa Cina. Saya percaya ini merupakan satu kejayaan besar untuk industri.
“Tidak kiralah apapun keputusannya nanti sama ada kami disenarai pendek atau menang, mewakili Malaysia pun sudah menjadi penghormatan besar buat pasukan kami.
“Ini adalah detik bermakna dan paling hampir kami rasakan untuk menggenggam piala Oscar. Semoga ada berita baik yang boleh kami kongsikan kepada semua tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengimbau kembali kenangannya menjiwai karakter Adik, Jack mengambil inisiatif menaiki bas ke Alor Setar sendirian sebelum kenderaan yang dinaiki tiba-tiba mengalami kerosakan.
“Saya tidak boleh lupakan keseluruhan proses untuk menjayakan naskhah ini. Semuanya sangat profesional dan berdedikasi di mana sebulan sebelum tarikh sebenar penggambaran, kami di bawa melihat sendiri persekitaran pasar basah di Pudu dan mengambil kelas bahasa isyarat.
“Dapat sahaja skrip dan dapat tahu karakter Adik berasal dari Alor Setar. Saya naik bas pergi ke Alor Setar dan sempadan Malaysia-Thai sendirian untuk membuat kajian.
“Ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, bas mengalami kerosakan membuatkan perjalanan saya memakan masa sehingga 10 jam untuk tiba di Kuala Lumpur.
“Sama seperti filem ini, perjalanan kami mungkin masih jauh untuk ditempuh. Tapi saya sentiasa berlapang dada menanti apakah kejutan yang terbentang di masa akan datang,” jelasnya.
Terdahulu, filem Abang Adik mencipta fenomena apabila berjaya mengaut kutipan RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi.
Di Malaysia, filem Abang Adik turut mencatat kutipan RM5.7 juta ketika ditayangkan pada Disember tahun lalu.
Filem terbitan More Entertainments Sdn Bhd itu juga berjaya merangkul 19 anugerah antarabangsa termasuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali. -UTUSAN