UUM peruntukan lebih RM100,000 bantu pelajar miskin lanjut pengajian - Utusan Malaysia

UUM peruntukan lebih RM100,000 bantu pelajar miskin lanjut pengajian

MOHD. Foad Sakdan berbual dengan Nur Dini Nasuha Amir (kiri) dan Foong Wei Yeng (dua dari kiri) yang baru mendaftar di UUM hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) membelanjakan lebih RM100,000 sebagai bantuan awal kepada 300 pelajar dari keluarga miskin dan daif untuk memastikan mereka berpeluang melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda sesi 2024/2025.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, kesemua mereka dikenal pasti setelah masing-masing mengisi borang permohonan yang dilampirkan secara dalam talian sebelum ini.

Katanya, langkah itu selari dengan arahan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir supaya semua universiti menerima pelajar golongan itu selain membantu menguruskan bantuan awal pengajian menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Setakat semalam, UUM telah memberikan wang tunai RM500 seorang kepada 185 pelajar dalam kategori keluarga miskin dan daif selain 115 pelajar lagi diberikan kotak makanan berjumlah RM100 seorang.

“Jika ada yang tidak berkemampuan untuk hadir sekali pun, kami akan sediakan kenderaan untuk bawa mereka ke sini,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Canselori UUM di sini, hari ini.

Pada sesi kali ini, seramai 4,195 pelajar baharu mendaftar bagi mengikuti 48 program pengajian sarjana muda melibatkan majoriti pelajar tempatan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, matrikulasi, asasi pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Kami turut menerima pendaftaran 134 pelajar antarabangsa. 77 daripadanya di peringkat sarjana muda terdiri daripada 64 rakyat Indonesia, 12 China dan seorang Bangladesh manakala 57 lagi pelajar mobiliti dari Brunei, Indonesia, Jepun, Perancis dan China,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar baharu, Nur Dini Nasuha Amir, 20, gembira kerana mencapai impian melanjutkan pelajaran dalam bidang Industri Kreatif di UUM yang merupakan pilihan pertamanya.

Dia yang berstatus orang kurang upaya (OKU) berkata, banyak manfaat yang diterima di UUM meskipun baru sahaja beberapa hari mendaftar sebagai pelajar di situ.

“Sebelum ini, saya terima RM500 daripada UUM untuk melanjutkan pelajaran ke sini. Apabila tiba di sini pula, saya ditempatkan di penginapan yang dikhaskan untuk golongan OKU dengan tandasnya berada dalam bilik.

“Jadi kami tak perlu berjalan jauh atau berkongsi tandas dengan pelajar lain. Saya bersyukur diterima belajar di sini dan berhasrat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga yang kini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.  

Foong Wei Yeng, 20, pula berkata, UUM ada memberi wang poket sebanyak RM100 kepadanya selain dibelikan tiket kereta api dari Kampar, Perak ke Arau, Perlis.

“Apabila tiba di Perlis, saya diambil pula dengan kenderaan UUM. Semua ini memang sangat membantu kerana isu kewangan menjadi antara perkara yang membimbangkan saya sebelum ini.

“Bapa saya sudah berusia 80 tahun manakala ibu pula meninggal dunia sejak saya tiga tahun dan dua adik masih di bangku sekolah. Saya ke sini berbekalkan wang hasil simpanan sewaktu bekerja secara sambilan selepas STPM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya