KUALA LUMPUR: “Sebagai umat Islam, jangan berhenti bercakap, memberitahu apa yang berlaku di Gaza dan Palestin.”
Demikian kata penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyeru semua pihak agar tidak terpengaruh dengan gerakan berhaluan kiri yang mahu usaha memboikot produk pro-Israel dihentikan.
Siti berkata, usaha gerakan yang giat dilakukan dalam media sosial tersebut merupakan sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi umat Islam dalam membantu rakyat Palestin yang sedang bertarung nyawa menjadi mangsa kekejaman Zionis.
“Dalam setiap usaha ke arah keagamaan dan membantu saudara di Gaza, akan ada cabaran dan dugaan. Usaha mematahkan semangat akan ada. Semuanya terpulang kepada pegangan kita.
“Kita ada pegangan agama dan berpegang kuat dengan apa yang dituntut dalam agama. Kalau nak ikutkan dalam kehidupan ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Bukan cabaran mengenai Palestin sahaja, tapi apalah sangat demi saudara dan agama. Kita tak tahu kesudahannya sampai bila, mungkin hingga kiamat,” katanya.
Siti berkata demikian ketika diminta mengulas usaha beberapa kumpulan yang aktif menyebarkan propaganda yang menyifatkan usaha memboikot produk pro-Israel tidak membawa sebarang perubahan dan menyusahkan banyak pihak.
Terdahulu, Siti ditemui pada sidang media majlis penyerahan sumbangan bernilai RM500,000 oleh Inayah Beauty kepada Yayasan Nurjiwa di Wangsa Maju di sini, baru-baru ini.
Acara tersebut turut menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Qistina Latifi menyerahkan sumbangan itu kepada Siti yang juga Pengasas dan Pengerusi Bersama Yayasan Nurjiwa. -UTUSAN