KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri meluahkan rasa terharu dan bersyukur apabila wajahnya buat kesekian kalinyanya menghiasi papan iklan EQUAL Spotify di New York, Amerika Syarikat.
Perkara itu dikongsikan Ernie yang turut memuat naik gambar wajahnya yang terpampang di papan iklan itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
“Saya duta EQUAL untuk bulan ini. Alhamdulillah, untuk kedua kalinya. Masih lagi bermimpi,” katanya.
Dalam pada itu, Ernie menganggap pencapaian tersebut berpunca daripada lagu, Masing-Masing yang menerima sambutan baik daripada pendengar.
“Pencapaian saya di Spotify juga, ini semua terjadi disebabkan lagu Masing Masing. Pengiktirafan itu adalah satu perkara yang sangat besar dalam kerjaya saya.
“Itu adalah tanda arah baru untuk saya bekerja lebih kuat dan apa yang saya lakukan ini memang khas untuk peminat saya,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Mengulas mengenai lagu Masing-Masing, penyanyi itu turut melancarkan lagu tersebut di dalam versi akustik dengan alunan muzik piano yang memberikan nafas baru dan sentuhan emosi berbeza buat lagu berkenaan.
Menurut Ernie, Masing Masing versi itu adalah hadiah istimewa buat peminat yang selalu menghargai keindahan lirik dan melodi dalam kesederhanaan.
“Saya mahu menonjolkan keaslian dan kejujuran lagu ini, tanpa sebarang elemen muzik yang mengganggu. Menerusi versi ini, pendengar berpeluang merasai keindahan yang tertulis dalam banyak dimensi.
“Saya percaya cara paling murni untuk menyampaikan karya seni adalah melalui pengurangan hiasan yang tidak perlu, membiarkan lirik dan melodi berbicara dengan sendirinya.
“Dalam setiap nota yang dimainkan, ada kenangan dan emosi yang terukir, menjadikan pengalaman mendengar lebih intim dan mendalam. Dengan pendekatan yang minimalis ini, saya berharap dapat membawa pendengar merasai inti pati perjalanan dan perasaan yang tulus dan menyentuh hati dalam lagu tersebut,” katanya.
Sementara, Ernie juga berjaya memenangi kategori Lagu Paling Boom Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), baru-baru ini. -UTUSAN