KUALA LUMPUR: Selepas perkongsiannya mengenai ibu bapa yang pilih kasih menjadi soroton, pelakon, Reen Rahim terpanggil untuk mengulas dan memberi tips untuk anak-anak yang tidak dihargai orang tua.
Menurut Reen, dia sedar akan kewujudan sesetengah ibu bapa yang bersikap pilih kasih terhadap anak-anak mereka.
Namun, dia enggan mengetepikan perasaan anak-anak yang sering diabaikan dan tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya dengan berkongsip tips untuk kekal tenang.
“Sebelum ini saya ada buat kapsyen tentang ibu bapa yang pilih bulu, ada anak emas. Perkara itu memang pedas (pahit) dan saya memang nak bagi dekat ibu bapa yang kaki pilih bulu. Tapi, bila buka komen ramai puak anak-anak yang dianak tirikan ini.
“Kalau yang perlukan apa-apa perkhidmatan anak yang dipulau itu, kalau nak timang-timang, sayang-sayang anak yang itu anak emas itu. Ada saja, yang terasa padan muka.
“Tapi saya terlupa, kepada pemangsa-pemangsa yang makan hati sangat dengan ibu bapa anda, saya minta maaf sangat sebab tak selitkan pada kapsyen tips untuk awak semua kekal tenang,” katanya.
Perkara itu telah dikongsikan oleh Reen menerusi sebuah hantaran video yang berdurasi 3 minit 58 saat di Instagram.
Dalam perkongsian tersebut, Reen yang tidak mahu anak-anak yang berkecil hati dengan sikap pilihan kasih ibu bapa mereka terus makan hati sebaliknya berpesan supaya mereka terus berbakti kepada mereka.
“Ini khas untuk awak semua yang tersakiti itu, contohlah situasi itu awak dianak tirikan. Jangan makan hati, berundur, jaga hati awak sikit. Jangan bagi orang makan awak sangat.
“Tapi, tanggungjawab sebagai anak itu, kita berbakti pada mereka, jaga hati mereka, jaga kebajikan mereka kalau kita mampu buat sahaja walaupun tidak dihargai,” jelasnya.
Kata Reen lagi, meskipun pahit untuk menerima kenyataan diri tidak dihargai, pelakon itu meyakinkan golongan anak yang teraniaya itu lebih beruntung kerana mendapat keredaan Sang Pencipta.
“Bila awak buat bukan sebab nak perhatian mereka sebaliknya sebab tanggungjawab awak kerana Allah. Buat sahaja perkara yang diminta Allah untuk dapatkan reda Dia.
“Itu lebih seronok perasaannya. Kita ini hidup nak tenang saja. Tenang, berkat, diredhai semua benda itu akan kita buat rasa cukup tiba-tiba,” ujarnya.
Sedar dirinya tidak layak untuk mengulas lanjut perkara tersebut, Reen bagaimanapun dilihat terus memberi semangat kepada mereka yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa supaya kekal tenang menempuh dugaan hidup.
“Saya tidaklah pandai bercakap. Iman dan ilmu saya nipis tapi Alhamdulillah, asas tu ada. Ingat, jangan kumpul berpuak-puak anak-anak yang dianak tirikan dan jadikan benda itu sebagai satu kebahagiaan,” jelasnya.