BERUAS: Ummu Atiyah, anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, dibawa ke perkampungan GISBH atau dikenali sebagai Bandar Ikhwan, Batu Hampar, dekat sini, petang ini, bagi membantu siasatan dakwaan dikurung secara tidak sah di situ.
Beliau dibawa menaiki sebuah kereta Proton X70 diiringi lima kereta lain termasuk sebuah kereta peronda polis tiba di perkampungan tersebut pada pukul 2.38 petang.
Kehadirannya diiringi Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Taiping, Asisten Superintendan N. Suder bersama sembilan pegawai dan anggota polis lain.
Ummu Atiyah yang memakai baju kebarung berwarna kelabu dan berselendang putih dipercayai Ummu Atiyah, kemudian menunjukkan kawasan rumah didakwa dia dikurung dan sekitar perkampungan tersebut kepada pegawai polis terlibat.
Difahamkan, beliau dibawa ke situ untuk membantu siasatan dakwaan dikurung secara salah di sebuah rumah setingkat yang terdapat di situ.
Sebaik berada kira-kira 30 minit di perkampungan tersebut, Ummu Atiyah bersama tiga rakan termasuk pemandu kembali menaiki Proton X70 untuk beredar kira-kira pukul 3.07 petang.
Beliau sempat melambaikan tangan kepada jurugambar sambil berkata “Terima kasih semua, kami hendak balik KL (Kuala Lumpur).”
Terdahulu, difahamkan beliau dibawa ke Balai Polis Padang Gajah, dekat Trong, kira-kira pukul 11 pagi untuk dirakam keterangannya.
Malam tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Ummu Atiyah, anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad akan menunjukkan lokasi dia didakwa dikurung kira-kira sebulan di perkampungan GISBH di Batu Hampar, hari ini.
Pada sidang media di ibu negara, wanita berusia 41 tahun itu mendakwa dia menjadi mangsa rogol kepada seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa.
Razarudin Husain turut mengesahkan Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar. – UTUSAN