KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Nora Danish memaklumkan perkongsiannya mengenai nafkah rumah tangga dalam podcast bersama selebriti, Neelofa dan Natasha Ozeir baru-baru ini adalah pandangannya secara umum.
Menurut Nora, sesi podcast tersebut telah dirakam sejak Julai lalu bahkan topik yang dibincangkan itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
“Podcast itu kami dah rakamkan pada Julai, dah lama. Cuma baru ditayangkan. Waktu itu saya baru bercerai. Mungkin ada sebab kenapa pihak produksi baru tayangkan podcast itu contohnya kesibukan dan sebagainya.
“Sebenarnya, semasa podcast itu nak ditayangkan pun, saya ada bercakap dengan pasukan kami juga, sebab isu yang dibicarakan terlalu ada kena-mengena sangat dengan apa yang berlaku dalam industri hiburan baru-baru ini.
“Jadi, saya takut menyinggung perasaan orang. Tapi, mungkin tak ada masalah kalau kita keluarkan sebab kita tak memihak mana-mana. Topik yang dibincangkan juga adalah secara umum yang mungkin ramai terlepas pandang,” katanya.
Tambah Nora, ulasan yang diberikan menerusi sesi podcast itu juga mempunyai tiga sudut yang berbeza memandangkan ketiga-tiga mereka mempunyai status yang berbeza.
“Ketiga-tiga kami membawa pandangan dari sudut berbeza. Neelofa sendiri bercakap dari sudut pandang orang yang masih berkahwin. Natasha pula orang yang masih bujang manakala saya pula dari sudut pandang orang yang sudah bercerai.
“Jadi, ada tiga pandangan berbeza yang bercakap mengenai pengalaman hidup masing-masing dan tak ada kena mengena dengan sesiapa,” jelasnya.
Ditanya sama ada isu nafkah itu mempunyai kaitan dengan kehidupannya, pelakon drama Puteri itu tegas menafikan bahawa perkara tersebut menjadi punca perceraiannya bersama bekas suami, Nedim Nazri Aziz.
“Bagi saya, apa yang saya katakan itu tidak ada kena mengena dengan kehidupan saya. Cuma, mungkin perbincangan itu secara umum dan saya tekankan bahawa saya mengkaji kenapa manusia sekarang banyak bercerai dan salah satu puncanya adalah, kerana kewangan.
“Banyak masalah rumah tangga yang berlaku adalah kerana soal nafkah yang ramai terlepas pandang, yang menyebabkan kehidupan rumah tangga tak berkat.
“Kalau kita tengok dari sudut komen-komen positif pula, memang banyak yang bersetuju dan banyak lelaki yang terlepas pandang,” katanya.
Pada 19 Jun lalu, Nora dan Nedim sah bercerai selepas mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata, Mohamed Neqayl, 6. -UTUSAN