Ular sawa batik 95kg telan ayam ditangkap - Utusan Malaysia

Ular sawa batik 95kg telan ayam ditangkap

ANGGOTA bomba BBP Kuala Nerang bersama ular sawa batik sepanjang enam meter dan seberat 95kg yang ditangkap di Kampung Perik, Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seekor ular sawa batik seberat 95 kilogram dengan panjang kira-kira enam meter yang dipercayai menelan ayam peliharaan penduduk berjaya ditangkap pihak bomba di Kampung Perik, Kuala Nerang awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada penduduk memaklumkan kehadiran reptilia itu pada pukul 1.28 pagi.

Katanya, pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati ular tersebut sedang melingkar di halaman rumah penduduk.

“Ular tersebut cukup agresif menyebabkan usaha untuk menangkapnya berdepan sedikit kesukaran. Namun, akhirnya dengan menggunakan dua penjerut, ular itu berjaya ditangkap dalam tempoh 40 minit,” katanya.

Tambahnya, kehadiran ular itu disedari seorang penduduk yang terdengar bunyi ayam membuat bising di belakang rumahnya.

“Apabila pintu dapur dibuka, dia terkejut melihat ular bersaiz besar itu dan segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Tambahnya, ular terbabit diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu katanya, pihaknya telah mengendalikan sebanyak 247 kes berkaitan haiwan berbisa di negeri ini sepanjang September lalu.

“Untuk Oktober pula, setakat ini kami telah mengendalikan sebanyak 144 kes dengan daerah Kulim mencatatkan kes terbanyak iaitu 18 kes bagi bulan Oktober dan 33 kes pada September.  

“Justeru sepanjang tempoh banjir ini, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana ada kalanya haiwan berbisa seperti ular turut hanyut dibawa arus atau keluar dari habitat asalnya hingga dikhuatiri berada di kawasan penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya