UKM: Bentuk ‘otak dan watak’ graduan cemerlang

UKM: Bentuk ‘otak dan watak’ graduan cemerlang

Mohd. Ekhwan Toriman menyampaikan ucapan kepada para pelajar sempena majlis Amanat Naib Canselor dan Bacaan Ikrar di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, semalam. – UTUSAN/ILHAM ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melahirkan graduan yang membudayakan kecemerlangan tanpa meminggirkan nilai kerohanian dan jiwa bagi pembangunan masa hadapan.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, pelajar-pelajar UKM akan melalui suatu proses pendidikan holistik yang meliputi pembentukan ‘otak dan watak’ yang akan membawa kepada pembangunan bakat masa hadapan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berbudaya watan (excellence with soul).

Beliau berkata, kemenjadian mahasiswa akan menghasilkan graduan bitara yang mempu­nyai sifat dan karakter yang unggul, berketerampilan, kompeten dan progresif.

“Pembentukan otak dan watak ini maksudnya anda (pelajar) mempunyai tahap pemikiran yang baik dan pada masa sama, memiliki keperibadian cemerlang. Oleh itu, akan lahir bakat berkualiti.

“Di UKM ini, kita semua percaya bahawa manfaat yang lebih besar akan diperoleh, sekiranya kita sentiasa memekarkan hati budi dengan nilai-nilai murni. Kejayaan akademik semata-mata tidak menjanjikan kehidupan yang bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat kepada pelajar baharu pada Majlis Amanat Naib Canselor, di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Ekhwan, apa­bila pemikiran dan sahsiah cemerlang, proses pembelajaran di UKM akan menjadi lebih bermakna.

“Anda akan lahir sebagai seorang graduan yang bukan sekadar bijak mengatur masa depan tetapi juga menjadi khalifah dalam apa jua yang anda perjuangkan.

“Anda menjadi duta dan pakar rujuk masyarakat sekeliling serta seorang pemimpin yang disegani. Inilah keberhasilan graduan yang kita perjuangkan.

“Kecemerlangan akademik tampil seiring dengan keterpujian sahsiah. Barulah anda lahir sebagai mahasiswa luar biasa. Inilah acuan otak dan watak yang menjadi esensi sistem pendidikan di UKM,” tegas beliau.

Katanya, itulah yang dihasratkan oleh KPT seiring dengan 5 Fokus Utama yang meliputi 20 Landasan Halatuju yang digariskan oleh Menteri Pendi­dikan Tinggi, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Terdahulu, UKM terus berdiri megah di persada dunia apabila melonjak ke kedudukan ke-138 dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2025. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya