TVET penting penuhi pasaran kerja

TVET penting penuhi pasaran kerja

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Konvokesyen kali ke-16 PTSS di Dewan Harumanis PTSS, Arau, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan amat penting bagi memenuhi keperluan pasaran kerja dalam era yang berkembang pesat ketika ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, TVET bukan sekadar melahirkan pekerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal malah memberikan penekanan kepada pembangunan kemahiran praktikal yang penting sekali gus menyumbang kepada produktiviti dan inovasi.

Titah baginda, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini antaranya adalah institusi TVET yang memberikan tumpuan kepada perkembangan kemahiran teknikal dan profesional yang merupakan landasan bagi kecemerlangan ekonomi negara.

“Kemahiran teori dan praktikal yang dimiliki graduan juga boleh terus digunakan dalam industri pekerjaan,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen kali ke-16 PTSS di Dewan Harumanis PTSS di sini, semalam.

Titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail.

Majlis konvokesyen yang berlangsung tiga sidang itu bermula semalam hingga Selasa yang meraikan 1,155 lulusan diploma, asasi dan sijil dalam pelbagai jurusan TVET yang tamat pengajian tahun lepas dan tahun ini.

Pada sidang pertama majlis konvokesyen itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan Anugerah Anumerta kepada waris Muhammad Zarif Aidy Mohamad Zahir graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang meninggal dunia pada 18 Mei lalu akibat nahas jalan raya.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah Diraja kepada graduan Diploma Pengurusan Pelancongan, Lok Mee Wan.

Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya bertitah, TVET turut membuka peluang kerjaya kepada golongan muda yang mungkin tidak memilih laluan pendidikan akademik secara tradisional.

“Hal ini dapat memberikan lebih banyak peluang serta mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia. Tahniah diucapkan kepada PTSS yang telah memainkan peranan besar dalam membekalkan graduan berkualiti ini.

“Graduan keluaran politeknik amnya dan PTSS khasnya ialah tulang belakang kepada kemajuan negara dalam pelbagai bidang teknikal. Sebagai graduan TVET, mereka adalah individu yang amat berbeza dan berharga dalam dunia pekerjaan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, melalui pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di PTSS, graduan bukan sahaja dilatih untuk menjadi pekerja yang mahir malah menjadi pencipta, usahawan dan pemimpin dalam industri masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya