Tutup kepala dengan selimut ketika tidurkan bayi, pengasuh taska bebas - Utusan Malaysia

Tutup kepala dengan selimut ketika tidurkan bayi, pengasuh taska bebas

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh sebuah taska di Shah Alam dekat sini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan mendedahkan seorang bayi berusia lapan bulan yang mungkin boleh menyebabkannya mengalami kecederaan, dua tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian terhadap Nurul Fatihah Mohd. Fadzli, 26, tanpa memanggilnya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut pertuduhan, sebagai seorang yang mempunyai penjagaan terhadap kanak-kanak itu, dia didakwa mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pukul 12.29 tengah hari, 3 Januari 2022 di bilik tidur kanak-kanak sebuah taska di Seksyen 6, Shah Alam dekat sini.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam alasan penghakimannya, Norazlin menyatakan, pihak pendakwaan gagal membuktikan bayi berkenaan berada di bawah jagaan eksklusif tertuduh sepanjang masa pada hari kejadian.

“Ini berdasarkan keterangan penyelia taska bahawa ketika itu terdapat empat pengasuh (termasuk tertuduh dan dirinya) yang ditugaskan menjaga bayi di bilik tidur kanak-kanak,” ujarnya dalam penghakiman bertulis bertarikh 3 Oktober lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Norazlin turut berpuas hati, pihak pendakwaan tidak memperincikan bentuk tindakan tertuduh yang boleh menyebabkan bayi itu mengalami kecederaan fizikal dan gangguan emosi.

Beliau berpendapat, tiada keterangan langsung yang menunjukkan tindakan tertuduh menepuk-nepuk punggung bayi itu dengan kuat dan menahannya di bawah selimut merupakan penyebab kepada kecederaan luka pada kulit kepalanya.

“Walaupun tertuduh dilihat menggunakan telefon bimbitnya ketika menepuk-nepuk belakang bayi itu, bagaimanapun dia tidak pernah meninggalkan bayi itu bersendirian pada setiap masa,” ujar beliau.

Hakim berkenaan juga berpuas hati, tiada bukti yang menunjukkan bayi itu mengalami sesak nafas atau lemas mahupun meronta-ronta kerana kekurangan oksigen ketika tertuduh cuba untuk menidurkannya manakala keterangan doktor yang memeriksanya menyatakan mangsa tidak mengalami sebarang gangguan emosi.

Keterangan kes pendakwaan menyatakan, pada hari tersebut ibu dan bapa kanak-kanak itu yang juga saksi pendakwaan pertama dan ketiga (SP1 dan SP3) telah menghantar bayi mereka ke taska berkenaan buat pertama kali.

Pihak taska kemudian melakukan pemeriksaan fizikal bagi mengesahkan bayi itu tidak mengalami kecederaan.

Sebelum beredar, bapa mangsa berpesan kepada pihak taska supaya berhati-hati dengan penggunaan selimut yang dibawa bersama kerana ia dianggap `comfort material’ kerana ia kali pertama mangsa diletakkan di taska berkenaan.

Kira-kira pukul 12.14 tengah hari, pihak taska memaklumkan bahawa bekalan susu telah habis menyebabkan pasangan itu datang membawa pulang bayi berkenaan.

“Dalam perjalanan pulang, ibu mangsa menyedari terdapat kesan luka pada bahagian kulit kepala sebelah kanan belakangnya. Luka itu tidak ditemukan ketika mereka menghantar bayi itu pada waktu pagi.

“Mereka kemudian berpatah semula ke taska berkenaan untuk mendapatkan penjelasan dan dibenarkan oleh pemilik taska untuk melihat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Dalam rakaman itu, tertuduh didapati menyelimutkan bayi itu dari kepala hingga ke pinggang selama hampir 10 minit. Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis,” demikian menurut keterangan pendakwaan yang dinyatakan dalam penghakiman bertulis itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya