Tujuh wanita Vietnam dipukul, dipaksa jadi pekerja seks diselamatkan

Tujuh wanita Vietnam dipukul, dipaksa jadi pekerja seks diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh wanita warga Vietnam yang dipaksa menjadi pekerja seks diselamatkan Jabatan Imigresen dalam satu operasi di sebuah rumah kedai dua tingkat di sekitar, Klang di Selangor pada Isnin lalu.

Kesemua wanita berusia antara 32 hingga 45 tahun itu memasuki negara ini sebagai pelancong, namun dikurung di premis berkenaan termasuk dipukul jika enggan melayan pelanggan.

Jabatan Imigresen berkata,  serbuan kira-kira 11.23 malam itu dijalankan berdasarkan maklumat dan aduan mengenai premis berkenaan yang dikatakan dikawal ketat oleh lelaki warga Bangladesh digelar ‘Kapten’.

Katanya, ketika serbuan, premis terbabit dipantau melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan anggota terpaksa memecahkan pintu utama kerana penjaga enggan bekerjasama selain cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan.

“Bagaimanapun tindakan pantas anggota serbuan akhirnya berjaya menahan lelaki digelar ‘Kapten’ itu.

“Berdasarkan siasatan semua pasport wanita itu dipegang individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan mereka dikawal ketat termasuk dilarang keluar membeli makanan dan barang keperluan.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen memaklumkan, operasi menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Kita memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

“Jabatan Imigresen sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya