Tragedi UiTM Dungun: 3 pelajar maut ketika pulang makan malam

Tragedi UiTM Dungun: 3 pelajar maut ketika pulang makan malam

LEBIH 1,000 jemaah menunaikan solat jenazah tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut akibat dirempuh kenderaan Honda CRV malam semalam yang diimamkan Imam Masjid UiTM Dungun, Muhammad Adam Ali di Pusat Hidayah UiTM Dungun, Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Du­ngun di Jalan Pantai di sini yang baru pulang daripada makan malam maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh seorang wanita dipercayai menghadapi masalah mental.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.35 petang di hadapan kampus tersebut ketika empat pelajar terlibat menaiki dua motosikal.

Wanita tersebut katanya, memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV tidak mengalami kecederaan dan kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, tiga mangsa yang maut itu ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25.

“Kesemua mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Anggota polis mengiringi wanita (tengah) yang dipercayai merempuh dua buah motosikal sehingga menyebabkan kematian tiga pelajar UiTM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

Tambahnya, seorang lagi mangsa yang cedera parah ialah Muhammad Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20, dikejarkan ke Hospital Hospital Dungun di sini, untuk rawatan lanjut.

Perintah reman terhadap wanita berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret, Nur Amira Fatihah Osman setelah membenarkan permohonan polis untuk siasatan kes tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Reman tersebut bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan memberitahu, dalam kemalangan pada pukul 7.35 petang itu, wanita terbabit yang memandu SUV terbabit telah merempuh dua motosikal yang dinaki empat pelajar berkenaan yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampus tersebut.

Tragedi yang mengorbankan tiga pelajar itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan sangat menyayat hati.

Sehubungan itu, beliau berharap keluarga ketiga-tiga pelajar tersebut mendapat keadilan sewajarnya.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga pelajar UiTM Dungun yang kembali ke rahmatullah malam tadi.

“Kes yang sangat menyayat hati dan saya sendiri terkesan akan kejadian ini. Semoga keluarga tabah hadapi dugaan ini dan mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya dalam akaun X beliau semalam.

Sementara itu, ketiga-tiga jenazah yang sudah selesai menjalani proses bedah siasat dibawa ke Masjid UiTM Dungun untuk disembahyangkan. Lebih 1,000 jemaah terdiri daripada ahli keluarga dan warga UiTM menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Masjid UiTM Dungun, Muhammad Adam Ali kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.

Jenazah Muhammad Akmal yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan akan dibawa pulang ke Muar, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam, Muar, Johor.

Jenazah Khairil Anwar, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor manakala jenazah Ku Adib Aizad, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya