ALOR SETAR: Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang bekas banduan kes pembunuhan kerat lapan, Khairul Anuar Zakaria, 64, yang dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada 3 Oktober lalu setelah meringkuk di sebalik tirai besi selama 23 tahun empat bulan.
Khairul Anuar yang lebih dikenali sebagai Abah Hayat berkata, dia bersyukur kerana menerima sokongan isteri, anak-anak serta ahli keluarga dan masyarakat, namun mengakui masih ada yang memberi kecaman terhadapnya.
“Tolonglah jangan herdik kerana saya sudah menjalani hukuman, saya tidak lari dari penjara sebaliknya dibebaskan. Bantulah saya teruskan sisa hidup ini dengan menjadi manusia berguna. Perkara itu (pembunuhan) memang berlaku dan pelaku itu adalah saya.
“Saya sudah dihukum, dibebaskan dan turut diberi keampunan oleh Sultan Kedah daripada banduan akhir kepada banduan hayat. Saya seterusnya dihukum penjara 35 tahun setelah kerajaan mansuhkan hukuman penjara sepanjang hayat. Tolonglah jangan kata saya patut mati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pinang, Kepala Batas di sini hari ini.
Pada 22 September 2008, Khairul Anuar dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh seorang tukang besi, Chuah Leng Hai, 38, dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian. Dua lagi tertuduh, Ariffin Ahmad dan Muhammad Zaidi Salleh dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Datuk Kumbar, di sini antara pukul 5 pagi hingga 6.35 pagi, 4 Jun 2001.
Katanya, dia hanya mahu meneruskan sisa hidup dengan berbakti kepada orang ramai termasuk membantu memberikan motivasi kepada bekas banduan lain serta paling penting berpeluang berbakti kepada ibunya yang kini berusia 83 tahun dan semakin uzur.
“Berilah ruang kepada saya untuk bimbing anak bangsa dalam saya meniti usia senja ini. Alhamdulillah, masa di penjara ramai banduan yang ucap terima kasih kerana ajar mereka solat, malah mereka peluk saya ketika nak bebas.
“Malah, sebahagian usia saya dihabiskan di penjara menyebabkan saya rasa terkilan kerana terlepas peluang untuk berada di samping ibu, namun Allah beri peluang kepada saya untuk jaga ibu,” ujarnya.
Tambahnya, dia tidak berhasrat untuk menceritakan semula kejadian pembunuhan itu bagi menjaga hati semua pihak termasuk keluarga, namun hanya boleh mengatakan ia berlaku disebabkan maruah.
“Memadailah saya katakan pembunuhan itu berlaku di dalam rumah saya, dalam rumah keluarga saya sendiri dan di dalam bilik tidur saya sendiri. Ada yang kata ia sebab hutang along tetapi bukan. Hakikatnya ia adalah masalah maruah, jadi tak perlu saya bercerita panjang lebar. Apabila Allah dah tutup benda itu, saya tidak perlu buka kembali,” jelasnya.
Sementara itu, dia menyifatkan pemenjaraan selama 23 tahun empat bulan sebagai tempoh paling berfaedah dalam hidupnya kerana diberi kesempatan mengenali Allah dan diri sendiri selain turut dilantik sebagai pembantu murabbi di Penjara Pokok Sena.
“Usia saya sekarang 64 tahun, kalau saya bahagi hidup saya kepada tiga, usia 20 tahun adalah zaman pembelajaran, 20 sampai 41 tahun zaman saya berkeluarga, manakala 41 hingga saya dibebaskan adalah zaman saya menjalani hukuman penjara.
“Sebenarnya sebelum dibebaskan, rasa risau dan berkata dalam hati adakah aku akan jatuh dalam golongan yang rugi selepas bebas nanti. Namun atas kehendak Allah, saya berazam untuk jadi manusia berguna dan mahu berbakti kepada bekas banduan lain yang perlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN