PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma pada 29 dan 30 Oktober ini bagi membolehkan pengguna lebuh raya berbilang kaum terutamanya masyarakat India beragama Hindu menyambut perayaan Deepavali dalam suasana gembira, harmoni dan saling hormat-menghormati.
Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma akan dilaksanakan membabitkan semua lebuh raya bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 29 Oktober (Selasa) dan akan berakhir pada 11.59 malam, 30 Oktober 2024 (Rabu).
Katanya, kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung oleh kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
“Pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) Johor Darul Takzim.
“Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Alexander berharap semua pengguna lebuh raya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan melalui panduan ditetapkan.
Antaranya kata beliau, mengikut jadual waktu perjalanan (TTA) oleh syarikat konsesi lebuh raya, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go dan bateri smart-tag yang mencukupi.
Selain itu, menggunakan pautan paparan CCTV Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) https://www.lim.gov.my mengenai keadaan lebuh raya sebagai panduan sebelum dan semasa perjalanan.
“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, LLM dan semua syarikat konsesi lebuh raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.
“Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1800887752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan semasa di lebuh raya dan menyemak status trafik atau sebarang insiden lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi LLM iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau aplikasi X @LLMtrafik secara berkala. – UTUSAN