TNB perkukuh Grid Nasional - Utusan Malaysia

TNB perkukuh Grid Nasional

Malaysia mempunyai potensi besar dalam sumber TBB yang boleh dimanfaatkan bagi perdagangan kuasa serantau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENAGA Nasional Berhad (TNB) komited menyokong matlamat Peralihan Tenaga Malaysia dan bersedia melabur RM45 bilion antara 2025 hingga 2027 bagi penambahbaikan infrastruktur grid kuasa negara untuk memastikan peralihan tenaga berjalan lancar menuju sasaran Sifar Bersih 2050.

Sebagai syarikat utiliti terkemuka, TNB sedang membuat persiapan menghadapi Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) 2025-2027, dengan mempersiapkan diri untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan permintaan elektrik yang tinggi.

Sepanjang RP4, TNB berpegang teguh kepada komitmennya untuk membekalkan tenaga kepada pelanggan sambil memajukan matlamat Malaysia mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.

TNB sedang menerajui tiga inisiatif utama berskala besar dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi bersih di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) iaitu taman solar berskala besar (LSS) berpusat, HHFS serta projek pembakaran bersama hidrogen dan ammonia.

Inisiatif ini bertujuan menyediakan lebih daripada 3,000MW kapasiti TBB menjelang 2040, dengan sekitar 2,500MW daripada teknologi HHFS dan tambahan 500MW daripada lima taman LSS yang berbeza.

TNB kini berada dalam peringkat pelaksanaan membangunkan 2,500MW hidro hibrid solar terapung HHFS di takungan empangan hidro TNB dan dijangka dengan permulaan TNB merancang untuk memasang HHFS dengan kapasiti sehingga 70MW di loji hidro Chenderoh, 640MW di loji hidro kenyir dan 200MW di loji hidro Temengor serta dijangka mula operasi pada tahun 2026 sehingga 2027.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB komited memacu pertumbuhan dan mencapai sasaran sifar bersih dengan rancangan peralihan tenaga.

“Dengan memberi tumpuan kepada sumber tenaga dan penggunaan tenaga, kami berhasrat menyediakan tenaga bersih, membina rangkaian peralihan dan mempromosikan penyelesaian dinamik,” katanya dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB Ke-34 baru-baru ini.

Bagi memastikan RP4 kekal di landasan betul, beberapa pelaburan dalam sistem tenaga adalah penting untuk memodenkan infrastruktur, meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan menyokong matlamat kelestarian.

Antara fokus pelaburan utama dalam RP4 termasuk pemodenan grid, integrasi TBB, sambungan kapasiti penjanaan baharu ke grid; memenuhi pertumbuhan permintaan yang besar dan kecekapan tenaga; peningkatan perkhidmatan pelanggan; serta daya tahan iklim dan alam sekitar.

RP4 juga bertujuan meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan pengedaran elektrik termasuk penggunaan Advanced Metering Infrastructure (AMI), yang melengkapkan rumah dan perniagaan dengan meter pintar, membolehkan data penggunaan tenaga masa nyata tersedia untuk pengurusan rangkaian yang cekap serta integrasi lancar sumber TBB.

Integrasi teknologi grid pintar akan meningkatkan pemantauan dan pengurusan pengedaran elektrik, yang membawa kepada gangguan yang lebih sedikit dan pemulihan perkhidmatan yang lebih cepat apabila isu timbul.

Inisiatif ini juga termasuk penggantian peralatan yang sudah usang, pengukuhan talian kuasa, dan peningkatan pencawang.
TNB berada di barisan hadapan dalam memajukan grid kuasa negara, didorong oleh hasrat untuk mewujudkan ‘Grid Masa Depan’ (GoTF) dengan matlamat menambah baik infrastruktur grid sedia ada, memastikan ia dimodenkan, cekap, dan mampu menampung jumlah tenaga boleh diperbaharui yang lebih banyak.

Dalam konteks lebih luas, RP4 selari dengan Grid Kuasa ASEAN (APG), inisiatif multilateral yang bertujuan menghubungkan grid elektrik 10 negara ASEAN, seterusnya membolehkan perdagangan elektrik rentas sempadan di rantau ini.

Walaupun ASEAN secara kolektif telah menetapkan sasaran mencapai 23% TBB dalam campuran tenaga serantau menjelang 2025, Malaysia menetapkan sasaran yang lebih bercita-cita tinggi untuk mencapai Sifar Bersih karbon menjelang 2050.

Untuk mencapai matlamat ini serta memenuhi komitmen antarabangsa di bawah Perjanjian Paris, pendekatan kolaboratif diperlukan berbanding usaha secara bersendirian.

APG mempunyai potensi untuk mempercepatkan peralihan tenaga bersih di rantau ini dengan mempromosikan perkongsian pengetahuan, pembinaan kapasiti, dan menarik pelaburan sektor swasta sambil memudahkan pembangunan infrastruktur yang diperlukan untuk penghantaran TBB rentas sempadan.

Kerjasama APG juga membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi dan amalan terbaik dari negara anggota lain, yang boleh memacu inovasi, penambahbaikan, serta berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi dengan mewujudkan peluang perdagangan elektrik rentas sempadan.

Manfaat ini menawarkan masa depan yang lebih cerah untuk belia Malaysia, terutamanya mereka dari program Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor tenaga negara.

TNB dijangka menggunakan HHFS sehingga kapasiti 230MW di loji hidro Temenggor dan Chenderoh menjelang 2025

Di peringkat serantau, konsep Grid Kuasa ASEAN pertama kali diperkenalkan dalam Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 1999-2004. Walaupun kemajuan terhad dalam tempoh dua dekad yang lalu disebabkan cabaran pengawalseliaan, undang-undang, dan teknikal, projek ini telah menyaksikan momentum yang diperbaharui dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan beberapa pencapaian penting.

Pihak berkepentingan kini mengiktiraf manfaat APG melangkaui keuntungan industri, termasuk kelebihan komersial dan alam sekitar yang besar.

Potensi besar Malaysia untuk sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro, boleh dimanfaat untuk perdagangan kuasa serantau.

TNB terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif kerjasama serantau termasuk Projek Integrasi Kuasa Laos PDR-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan negara jiran anggota ASEAN untuk meneroka pembangunan projek sambungan antara negara pada masa hadapan.

TNB memainkan peranan penting dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur sambungan serantau, yang menghubungkan grid kuasa Malaysia dengan Thailand dan Singapura. Ia penting untuk meningkatkan kestabilan kuasa dan mempelbagaikan bekalan tenaga.

Sekiranya berlaku kekurangan atau gangguan bekalan domestik, sambungan serantau ini boleh digunakan untuk memastikan sistem tenaga yang lebih berdaya tahan.

TNB komited untuk mempercepatkan pelaburannya dalam pengukuhan infrastruktur grid bagi mengelakkan kesesakan, seperti yang dilihat di pasaran matang, yang boleh menghalang peningkatan penembusan TBB.

Kesesakan seperti ini dapat dilihat di wilayah yang lebih maju termasuk United Kingdom, Eropah dan Amerika Syarikat, di mana barisan sambungan grid untuk projek angin dan solar telah mencapai tahap yang belum pernah berlaku, antara 50 hingga 200GW.

Tahun lalu, pendapatan TNB meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada RM53.07 bilion disebabkan oleh peningkatan permintaan elektrik sebanyak 3.8 peratus di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid pula berkata, kemampuan syarikat untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat, bersama pembayaran dividen sebanyak RM2.66 bilion dengan 66.6 peratus daripada dividen diagihkan kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menunjukkan komitmen TNB terhadap nilai pemegang saham.

“Kami berada di barisan hadapan dalam memajukan objektif ini melalui projek utama yang disenaraikan dalam NETR. Inisiatif ini akan meningkatkan TBB secara beransur-ansur, mengukuhkan kepimpinan kami dalam penyelesaian tenaga mampan,” katanya.

Walaupun fokus diberikan kepada matlamat peralihan tenaga negara yang bercita-cita tinggi, TNB memberi jaminan ia tetap komited menyediakan tenaga yang boleh dipercayai untuk pelanggan domestik dan komersial melalui saluran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN