TNB diminta maklum awal jika lepas air empangan - Utusan Malaysia

TNB diminta maklum awal jika lepas air empangan

SAARANI Mohamad melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Lasah di Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta memaklumkan lebih awal jika mahu membuat pelepasan air dari empangan hidroelektrik miliknya di sepanjang Sungai Perak bagi mengelak banjir besar seperti yang berlaku pada tahun 2014.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengalaman banjir besar 10 tahun lalu apabila TNB membuat keputusan melepaskan air dari Empangan Temenggor dan Empangan Kenering di Sungai Perak tanpa memaklumkan kepada Pejabat Daerah, menyebabkan penduduk di kawasan bawah empangan tersebut tidak sempat membuat persiapan.

Menurutnya, apabila tidak dimaklumkan, penduduk di kawasan seperti di Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Hilir Perak menjadi mangsa.

“Belajar daripada pengalaman itu, sejak dari itu kita sentiasa dimaklumkan oleh TNB mengenai perkembangan terkini paras air empangan.

“Setiap hari TNB memaklumkan kepada saya. Hari ini saya dimaklumkan mereka melepaskan air dari Empangan Chenderoh.

“Saya harap masalah komunikasi ini dapat diatasi kerana melihatkan mangsa banjir yang lari sehelai sepinggang, bermakna mereka terkejut,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsan Lasah di sini hari ini.

Menurutnya, TNB boleh memaklumkan lebih awal pelepasan air walau keadaan di empangan ketika itu pada tahap kritikal dan kecemasan,

Beliau berkata, ini kerana air yang dilepaskan mempunyai tempoh masa untuk tiba ke kawasan di bawah empangan seperti di Kuala Kangsar, Sungai Siput, Parit dan sebagainya.

“Pejabat Daerah, jawatankuasa daerah dapat buat persiapan berdasarkan tempoh masa itu,” katanya.

Saarani bagaimana pun tidak menyalahkan tindakan TNB itu, kerana empangan tidak boleh menyimpan air berlebihan dibimbangi menyebabkan empangan boleh pecah.

“Saya berharap supaya ada koordinasi dengan memaklumkan kepada Pejabat Daerah jika pelepasan air mahu dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya