‘Tipulah kalau saya tidak mahu buat konsert’ - Utusan Malaysia

‘Tipulah kalau saya tidak mahu buat konsert’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak kebelakangan ini, ramai penyanyi tanah air mengadakan konsert berskala besar demi menghiburkan peminat.

Bahkan, ada juga peminat yang sanggup berhabis ratusan ringgit dan battle ketika membeli tiket demi mendapatkan tempat yang terbaik untuk menikmati konsert artis kegemaran mereka.

Namun, berbeza pula dengan pemilik nama Datin Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih mesra disapa, Alyah yang dilihat tenang meskipun belum berpeluang untuk menghadiahkan sebuah konsert untuk peminatnya.

Genap 24 tahun mencipta nama dalam industri muzik tanah air, Alyah menganggap sikap cerewetnya dan kekangan kos menjadi sebab utama rezekinya untuk membuat konsert belum tiba.

“Tipulah kalau kata saya tak nak buat konsert sedangkan penyanyi baru pun dah buat konsert. Tetapi, kecerewetan saya nak adakan konsert itu dan kekangan kos buat saya percaya rezeki itu belum sampai lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu, perjalanannya untuk mengadakan sebuah konsert masih jauh kerana ingin memberikan persembahan yang terbaik buat peminat.

Dalam masa sama, Alyah berhasrat untuk membuat sebuah showcase sempena 25 tahun penglibatannya dalam industri seni tahun hadapan.

“Sejujurnya, konsert itu jauh lagi untuk saya tapi saya kena adakan satu showcase untuk peminat. Saya mungkin tak dapat adakan konsert yang saya impikan sebab pada saya, konsert yang bagus apabila visual dan audio perlu selari. Tetapi, semua itu melibatkan kos yang tinggi.

“Jadi, saya rasa saya mahu cuba buat showcase, berskala yang kecil dahulu. InsyaAllah, tahun depan sempena 25 tahun dalam industri,” jelasnya.

Cerewet demi hasilkan konsert terbaik
Sementara itu, penyanyi Jutaan Purnama itu turut mengakui dirinya agak cerewet dalam mempertimbangkan sesebuah tawaran untuk membuat konsert.

Pada Alyah, dia sudah bertungkus-lumus menghasilkan karya yang terbaik sejak awal penglibatannya dalam industri nyanyian sekali gus membuatkan dirinya berkira-kira untuk mengadakan konsert yang berskala besar.

“Saya sudah berbelanja banyak untuk muzik video saya dari pada zaman lagu Tak Mungkin Kerna Sayang lagi. Kadang-kadang ada yang mencecah ratusan ribu ringgit untuk jayakan sebuah muzik video di luar negara.

“Saya nak yang terbaik dan itulah diri saya. Saya tak main-main dengan kerjaya saya. Jadi, untuk adakan konsert atau showcase, saya nak berikan yang terbaik untuk peminat supaya mereka tak rasa ala kadar saja.

“Bila nak bagi yang terbaik itu yang tidak mudah dan tidak senang. Banyak benda yang saya perlu fikirkan sehinggalah sekarang usia saya sudah 40 tahun pun saya fikirkan,” katanya.

Ditanya sama ada pihak penganjur yang mempelawanya untuk adakan konsert, Alyah mengakui ada beberapa pihak menawarkan harga yang tidak berbaloi dengan kos yang sepatutnya untuk menghasilkan sebuah konsert.

“Saya ada tengok ada sesetengah artis mendapat dana tetapi saya selalu terlepas. Ada juga yang nak buat konsert untuk saya. Tapi pada saya, kosnya itu sepatutnya perlu dibayar dengan harga yang berbaloi.

“Menyanyi di konsert bukan seperti menyanyi di majlis makan malam. Bila buat konsert, banyak komitmen yang perlu diambil kira terutamanya, dari segi pemasaran dan sebagainya,” tegasnya.

Nilai bayaran mahal?
Dalam pada itu, Alyah turut menafikan gelarannya sebagai isteri kepada maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS mempengaruhi nilai bayarannya untuk sesebuah undangan atau mana-mana tawaran.

Katanya, setiap nilai bayaran yang ditetapkan adalah setimpal dengan komitmen dan mutu nyanyiannya sepanjang 24 tahun dalam industri.

“Harga saya dengan dia bagai langit dan bumi. Harga saya, saya berikan kerana komitmen saya. Saya sudah 24 tahun dalam industri. Kalau orang mahu membayar saya ikut suka hati, sejujurnya, memang saya takkan pergi. Bukan mahu riak, tetapi saya sudah berikan sepenuh hati sepanjang dalam industri seni.

“Saya juga akan tawarkan harga yang masuk akal. Tetapi ada juga klien yang minta kurangkan bayaran demi charity. Saya juga ada tanggungjawab dan komitmen, sudah tentu saya perlukan nilai yang sepatutnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya