EKONOMI Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2024 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pemulihan aktiviti perdagangan dalam sektor pembuatan dan sektor pembinaan meskipun berhadapan ketidaktentuan global.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, kerangka Ekonomi MADANI memberikan kejelasan dalam merangka trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Jelasnya, pelaksanaan kerangka ini berpotensi dalam melonjakkan ekonomi dan meningkatkan status sosioekonomi rakyat dalam dekad akan datang.
Katanya, kerangka itu merupakan asas dan panduan dasar kepada dokumen strategik utama iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
“Selain itu, kerajaan telah melancarkan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-UP) dan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) untuk memacu pelaburan domestik serta menambah baik pengurusan projek dan tadbir urus seterusnya menyumbang kepada objektif pembangunan negara.
“Berlatarkan keadaan tersebut, kerajaan berupaya melaksanakan langkah pembaharuan fiskal bagi membina semula penampan fiskal di samping memperkukuh inisiatif pembangunan negara.
“Pembaharuan struktur fiskal yang proaktif penting dalam meningkatkan keupayaan untuk mengekang dan mengurangkan sebarang risiko serta ketidaktentuan.
“Penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] merupakan inisiatif penanda aras yang menggambarkan iltizam kerajaan dalam memupuk tatakelola yang baik, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menguruskan kewangan awam,” katanya.
Laporan itu menyatakan, pada tahun ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengukuhkan kapasiti penjanaan hasil serta mengawal peningkatan perbelanjaan.
Ia termasuk semakan semula kadar cukai perkhidmatan, pengenalan e-Invois dan pindaan undang-undang sedia ada untuk melaksanakan Cukai Minimum Global yang akan berkuat kuasa pada 2025.
Bagi aspek pembaharuan perbelanjaan, pula katanya, kerajaan telah mula beralih daripada subsidi pukal kepada mekanisme yang lebih bersasar terutama melibatkan rasionalisasi subsidi elektrik dan subsidi diesel bersasar.
“Penjimatan daripada usaha ini disalurkan semula kepada rakyat melalui penambahbaikan program bantuan tunai, biasiswa pendidikan dan Bantuan Awal Persekolahan. Usaha tersebut menandakan komitmen berterusan mengekalkan trajektori konsolidasi fiskal bagi membina semula ruang fiskal dan meningkatkan kemampanan,” katanya. – UTUSAN