Tindakan tegas akan diambil ke atas peminjam PTPTN ingkar

Tindakan tegas akan diambil ke atas peminjam PTPTN ingkar

NORLIZA Abdul Rahim (dua dari kanan) menyampaikan zakat SSPN kepada Hasrunizah Hassan selepas merasmikan Sedar Excellent School Carnival di SK Bandar Pontian, Johor, petang ini. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: “Hutang perlu dibayar,” tegas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN ) terhadap peminjam yang langsung tidak membayar semula pinjaman mereka sebelum ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya akan memberi amaran pertama hingga ketiga kepada peminjam terbabit, sebelum mereka dipanggil untuk perbincangan.

Kata beliau, sekiranya kedua-duanya tindakan tersebut tidak dihiraukan, PTPTN akan mengambil tindakan lebih tegas dengan menyenarai hitam peminjam itu pada Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit ( CCRIS).

Menurut beliau, setiap tahun, PTPTN mengeluarkan pinjaman sebanyak RM3 billion bagi bayaran permulaan memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Dengan kos pinjaman tersebut, kami berharap peminjam menyedari tanggungjawab mereka untuk membayar balik pinjaman yang diberikan semasa mereka mula menyambung pelajaran dahulu.

“Istilah ‘pinjaman’ perlu dibayar, kecuali mereka yang mendapat ijazah kelas pertama, mereka bolehlah memohon untuk pengecualian dan ditukar kepada biasiswa,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Sedar Excellent School Carnival di SK Bandar Pontian, di sini hari ini.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa tindakan termasuk undang-undang terhadap peminjam PTPTN yang langsung tidak membayar semula pinjaman mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, sehingga kini seramai 430,000 peminjam dikesan masih gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM6 bilion.

Mengulas lanjut, Norliza menambah, pinjaman PTPTN merupakan usaha kerajaan bagi memastikan pelajar daripada kumpulan yang layak, tidak tercicir bagi menyambung pelajaran disebabkan masalah kewangan.

Sehubungan itu katanya, peminjam yang telah bekerja dan menikmati pendapatan bulan yang baik, perlu menyelesaikan pinjaman mereka semula sebelum tindakan lebih tegas diambil.

“Jika mereka tidak membayar balik pinjaman akan menyekat peluang pelajar-pelajar lain bagi mendapatkan pinjaman daripada PTPTN. Ini tidak adil kepada pelajar yang layak menyambung pelajaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya