KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri meluahkan rasa terharu apabila tiket konsert solo pertamanya, Aura: Ernie Zakri Live in Concert habis terjual dalam masa tujuh jam.
Menurut Ernie, sambutan yang luar biasa untuk konsert di Kuala Lumpur itu membuktikan bahawa peminatnya percaya akan usaha dan dedikasinya berkarya sepanjang lebih satu dekad menceburi industri muzik tanah air.
“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih atas sokongan yang luar biasa daripada semua. Ini adalah impian saya untuk berkongsi muzik dan perjalanan karier saya melalui konsert ini.
“Bagi saya, setiap tiket yang terjual bukan sekadar nombor, tetapi lambang kasih sayang dan kepercayaan peminat terhadap usaha dan dedikasi saya selama ini,” katanya.
Terharu jualan tiket laku keras, penyanyi lagu Ku Bersuara itu turut menjanjikan persembahan terbaik untuk peminatnya di konsert yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 25 Januari tahun hadapan.
“Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.
“Setiap detik yang dilalui bersama mereka adalah kenangan yang tidak ternilai. Konsert ini bukan hanya mengenai muzik, tetapi juga pengalaman, kegembiraan, dan sambutan penuh emosi yang kita dapat nikmati bersama,” jelasnya.
Meskipun tiket habis terjual dalam masa yang singkat, pihak penganjur SAH Entertainment mengumumkan tiada penambahan hari mahupun tempat duduk di konsert itu nanti.
Menurut Sufi Rashid selaku penganjur, pihaknya amat menitikberatkan keselesaan peminat yang hadir untuk menikmati persembahan penyanyi lagu Jangan Hilang Percaya itu.
“Kami tidak merancang untuk membuat sebarang penambahan tempat duduk mahupun penambahan hari. Memandangkan ruang di Dewan Plenari itu agak terhad, kami ingin memastikan peminat Ernie selesa sepanjang menyaksikan persembahannya,” katanya. -UTUSAN