PETALING JAYA: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman, bulan lalu.
Walau bagaimanapun, pengakuan tidak direkodkan kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Wah Siong, 50, didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, yang maut ditikam 20 kali di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara di sini pada pukul 9 malam, 14 September lalu.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd. Rozi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha kemudian menetapkan 8 November ini bagi sebutan semula kes untuk laporan kimia dan bedah siasat.
Pada 16 September lalu, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam 20 kali dalam kejadian di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 1 pagi.
Katanya, jiran mangsa membuat laporan selepas merasa bimbang sekiranya terjadi sesuatu kepada mangsa setelah didengari bergaduh dengan individu tidak dikenali.
Menurut beliau, kejadian didengari bergaduh itu berlaku sekitar pukul 11 malam dan pengadu tidak melihat mangsa keluar dari kediaman selepas kejadian itu.
Jelas beliau, terdapat kesan tikaman dipercayai dilakukan individu yang masih belum dikenal pasti.
Hasil semakan mendapati mangsa bekerja sebagai pereka hiasan dalaman rumah, tinggal sendirian dan baru sahaja membeli kediaman itu tahun lepas.
Sebanyak 20 tikaman dikesan antaranya di bahagian rusuk (lima kali), kepada (enam kali) dan pergelangan tangan (sembilan kali).
Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermula dengan kejadian pecah rumah sebelum menjadi samun dan menyebabkan kematian. – UTUSAN