KUALA LUMPUR: Taktik licik sindiket wang palsu tumpas apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat serbuan ke atas sebuah kondominium sekitar ibu negara pada 2 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai tiga lelaki warga Sierra Leone ditahan dalam serbuan tersebut.
“Tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dipercayai dalang utama sindiket tersebut.
“Sindiket ini memulakan kegiatan mereka sejak awal tahun 2024 dengan cara membuat pembelian wang palsu melalui TikTok dengan harga RM6.97 untuk 10,000 keping,” katanya ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Katanya, mereka akan menjual semula wang palsu tersebut kepada pembeli di Malaysia dengan harga RM1,000 untuk 10,000 keping.
Menurut Ramli, sindiket ini mendapat bekalan wang palsu daripada China.
Dalam serbuan berkenaan, tambahnya, polis merampas empat keping nota USD100, dua keping kertas kosong bersaiz nota USD100, satu kotak berwarna perak, empat unit telefon bimbit, pasport dan dua buah kereta jenis Naza Forte dan Proton Iriz.
Katanya, kesemua yang ditahan direman sehingga 21 Oktober ini di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan setakat ini mendapati ketiga-tiga yang ditahan telah masuk ke Malaysia sebagai pelajar di sebuah universiti swasta di Selangor.
“Dua daripada mereka telah masuk ke Malaysia sejak tahun 2022 dan seorang lagi pada tahun 2024 dan siasatan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan sedang diteruskan,” katanya. – UTUSAN