TAPAH: Penantian seorang pesara awal tentera, Abdul Hamid Mahmud, 41, untuk menetap di rumahnya sendiri di Taman Perwira Jaya, Tapah Road di sini tercapai sejak sebulan lalu.
Katanya, dia mula memohon perumahan itu sejak 2020 sebelum pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) diluluskan.
“Lebih baik sekiranya kita ada harta sendiri. Sekiranya terjadi apa-apa pada diri ini, isteri dan dua anak ada tempat untuk berteduh dari hujan dan panas.
“Memang ada tanah di kampung tetapi berbanding yang kita usaha sendiri lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia yang berkhidmat selama 21 tahun sebagai anggota tentera berkata, rumah teres setingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air itu dibeli dengan harga RM145,000.
“Harganya mampu milik kerana dengan saiz dan keluasan seperti itu mungkin lebih RM200,000 sekarang.
“Memang masih lama lagi tempoh pinjaman iaitu lebih 20 tahun dengan komitmen bulanan sebanyak RM735.44 namun ada duit pencen dan berniaga makan untuk menampungnya,” katanya.
Abdul Hamid adalah antara pembeli rumah di taman itu yang dimajukan oleh kerajaan Negeri Perak bagi menghargai jasa anggota pasukan beruniform negara termasuk yang berpencen dengan menyediakan 596 unit rumah teres setingkat serba moden dengan harga mampu milik bermula RM149,000 hingga RM160,000.
Berkeluasan 1,000 kaki persegi, rumah teres setingkat itu lengkap dengan ruang tamu, tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang makan dan dapur. – UTUSAN