BAGAN DATUK: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan melaksanakan tiga strategi meningkatkan pengeluaran koko negara sekali gus berpotensi menjana kekayaan untuk pekebun kecil tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, strategi pertama ialah memastikan kira-kira 6,000 hektar kawasan penanaman sedia ada dikekalkan, selain menambah lagi keluasan kawasan penanaman komoditi tersebut.
“Kedua, kita akan memastikan baka atau biji benih yang ditanam pekebun berkualiti dan boleh memberikan penghasilan buah yang banyak atau tinggi,” ujarnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Lembaga Koko Malaysia (LKM) Bagan Datuk 2024 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Koko Bagan Datuk, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Ramle Kasin.
Menurut Johari, strategi ketiga ialah LKM harus mengadakan lebih banyak kursus bagi melatih pekebun kecil dan bakal pekebun kecil koko melakukan sistem tanaman yang berasaskan piawaian tinggi.
Jelasnya, difahamkan R&D Bagan Datuk berpotensi untuk dijadikan pusat rujukan penanaman koko dalam skala besar di negara ini termasuk pernah menghasilkan hampir 100,000 biji benih untuk digunakan.
Tambahnya, usaha itu dilakukan berikutan potensi besar terdapat pada komoditi tersebut yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam penghasilan produk makanan, selain menjadikannya salah satu produk keterjaminan makanan negara.
Pada masa sama, jelasnya, margin keuntungan daripada penghasilan koko melebihi 60 peratus, sebagai contoh kos penanaman komoditi itu kira-kira RM8,400 sehektar manakala hasil purata boleh diperolehi sekitar RM24,300 bagi keluasan tanah sama.
Ujarnya lagi, harga koko pernah mencecah RM30,000 satu tan metrik, dan ketika ini berada pada kadar RM24,000 satu tan metrik.
Maklumnya, Malaysia pernah mengeluarkan sekitar 300,000 metrik tan koko setahun, tetapi kini hanya mengeluarkan 270 metrik tan setahun dan terpaksa mengimport hampir 530 metrik tan untuk kegunaan tempatan serta penghasilan produk untuk dieksport.
“Negara kita sebenarnya memerlukan 150,000 metrik tan koko untuk pasaran tempatan, selebihnya digunakan untuk penghasilan produk untuk eksport. Industri ini untuk kegunaan dalam negara sahaja boleh mencecah hampir RM12 bilion, itu sebab potensinya besar,” katanya. – UTUSAN