Tiga sekolah rosak dibadai ribut diberi cuti peristiwa - Utusan Malaysia

Tiga sekolah rosak dibadai ribut diberi cuti peristiwa

KEADAAN bumbung SMA Al Falah, Chukai yang diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Kemaman, petang tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Sebanyak tiga buah sekolah yang mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku di bandar Chukai di sini, petang semalam, diberikan cuti peristiwa hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, tiga sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Falah, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman dan SK Seri Kemaman.

“Tiga sekolah ini terpaksa ditutup hari ini berikutan banyak kerosakan dialami ekoran bumbung diterbangkan angin dan bilik darjah juga tidak dapat digunakan.

“Keseluruhan sekolah yang mengalami kerosakan ialah sebanyak tujuh buah sekolah dengan SMA Al Falah paling teruk terjejas kerana hampir 80 peratus bumbung di sekolah itu diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelani berkata, empat lagi sekolah yang turut mengalami kerosakan bumbung ialah
SK Bukit Mentok, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Sultan Ismail dan SMK Bukit Mentok.

“Bagaimanapun, empat lagi sekolah ini masih dapat beroperasi dan tidak menjejaskan bilik darjah.

“Kerja-kerja pembersihan serpihan atap di kesemua sekolah itu akan dilakukan hari ini.

“Kita sudah maklumkan kejadian ini kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai kejadian untuk pembaikian sekolah terlibat.

“Bagi SMA Al Falah, Bahagian Pendidikan Islam akan membuat permohonan untuk pembaikian dengan kerajaan negeri kerana sekolah ini merupakan sekolah agama di bawah kerajaan negeri,” katanya.

Jelani berkata, pihaknya juga sedang membuat penilaian kerugian sebenar kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN