Tiga penuntut UiTM maut: KKM sedia beri kerjasama.

Tiga penuntut UiTM maut: KKM sedia beri kerjasama.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan sijil kepada penerima pada Majlis Perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung kemalangan maut tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Dungun, Terengganu, malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedia membantu dari segi kepakaran yang diperlukan oleh pihak berkuasa berkenaan.

“Kita bersedia membantu dari aspek pandangan teknikal dan perubatan berdasarkan bukti dalam siasatan yang dijalankan pihak berkuasa itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan mengaitkan individu yang merempuh tiga mangsa itu dikatakan tidak siuman.

Ditanya sama ada dakwaan itu betul, Dr Dzulkefly bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Saya kira kes itu masih dalam siasatan polis,” katanya.

Ditanya juga sama ada individu kurang siuman atau mengalami masalah mental dibenarkan memandu kenderaan, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya menjelaskan kuasa untuk membenarkan perkara itu bukan di bawah kementeriannya.

“Sekali lagi, bukan juga di bawah kuasa KKM tetapi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Saya ingat lebih selesa kalau mereka itu yang memberikan jawapan itu,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, tiga penuntut UiTM Cawangan Dungun maut, manakala seorang dilaporkan kritikal, selepas dirempuh sebuah SUV.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, sebuah kereta dipandu wanita tiba-tiba merempuh dua mangsa motosikal dan dua pejalan kaki.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) yang merempuh mangsa itu dipercayai dipandu seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an, yang dikatakan mengalami masalah mental.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Ku Adib Aizad Ku Azmi, masing- masing berusia 20 tahun dan Mohd Akmal Tukirin, 25 tahun manakala, mangsa yang parah pula dikenali sebagai Amar Danish Mohd Ridwan, 20 tahun.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Dungun dan mangsa yang parah, dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya