Tiga penunggang motosikal Honda EX5 maut di LPT2 - Utusan Malaysia

Tiga penunggang motosikal Honda EX5 maut di LPT2

ANGGOTA polis mengusung mayat Nur Hamizul Abu Bakri yang maut selepas motosikal EX5 ditunggangi terlibat dalam kemalangan di Kilometer 316.8, LPT2, berhampiran Kerteh, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga pemuda maut selepas motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mereka terlibat dalam dua kemalangan berasingan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kerteh, di sini, hari ini, dipercayai sedang dalam perjalanan menghadiri perhimpunan permotoran di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan pertama berlaku di Kilometer 322.4, dekat Kerteh, kira-kira pukul 6.35 pagi manakala kemalangan kedua berlaku di Kilometer 316.8 kira-kira pukul 11.50 pagi.

“Kemalangan pertama, mengorbankan dua penunggang motosikal iaitu, Muhammad Alif Haikal Mohd. Razali,18, dari Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak, Pahang dan Muhammad Aliff Haiqal Abdullah, 23, berasal dari Kampung Alai, Melaka.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal jenis EX5 yang ditunggang mangsa dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dipercayai bergesel sesama mereka sebelum terbabas dan tercampak di atas jalan,” katanya.

Hanyan berkata, dalam kemalangan kedua, seorang lagi penunggang motosikal Honda EX5 iaitu Nur Hamizul Abu Bakri, 22, yang berasal dari Kampung Ulu Slim,  Slim River, Perak maut selepas motosikalnya dipercayai terbabas sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan,” katanya.

Hanyan berkata, ketiga-tiga mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya