Tiga pelajar  Sierra Leone didakwa miliki wang palsu 

Tiga pelajar  Sierra Leone didakwa miliki wang palsu 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga warga Sierra Leone, Afrika Barat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki wang palsu Dolar Amerika (AS$), tiga minggu lalu.

Penuntut-penuntut kolej swasta iaitu Ibrahim Jalloh, 25; John Marovia, 30; dan Sorie Brima Caulker, 20, didakwa memiliki empat keping  wang kertas AS$100 sebagai palsu dan dengan niat untuk menggunakan wang tersebut sebagai tulen, di sebuah kondominium di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 2 Oktober 2024.

Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan.

“Jika mahkamah membenarkan wang jaminan, ketiga-tiga tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah, tidak mengganggu pengadu dan perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai,” kata pendakwa raya itu.

Bagaimanpun, peguam bela, Nurul Diyana Basher memohon kepada mahkamah untuk memberikan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh kerana mereka masih belajar di sebuah kolej swasta. 

“Mohon jaminan diberikan kerana ketiga-tiga tertuduh merupakan pelajar kolej swasta di Alfa University College dan bukan datang daripada keluarga yang kaya,” kata peguam itu.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap tertuduh dan syarat tambahan serta menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh. 

Pada 17 Oktober lalu, cubaan tiga warga Sierra Leone menjual wang palsu dolar Amerika Syarikat kepada pembeli tempatan gagal selepas diberkas polis dalam serbuan di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka dipercayai memulakan kegiatan itu sejak awal tahun ini dengan cara membeli wang palsu menerusi aplikasi media sosial pada harga hanya RM6.97 untuk 10,000 keping AS$.

Ramli berkata, sindiket terbabit dipercayai mendapat bekalan wang palsu dari China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya