KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan tiga nama ‘ikan besar’ didakwa kartel penting dalam sindiket counter setting di kaunter imigresen tidak mempunyai kaitan dalam siasatan kes.
Ini susulan pendedahan sebuah portal berita tempatan sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya tiga individu dikenali sebagai Tok Yah atau Tok Ayah, DK dan Adik merupakan ‘kartel’ penting sindiket terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk memeriksa ketiga-tiga nama terbabit seperti didakwa sebelum ini.
“Saya secara peribadi tidak pernah dengar nama-nama ini, jadi saya arahkan pegawai saya untuk periksa nama-nama ini.
“Pagi ini pegawai saya beritahu ketiga-tiga kod nama ini (Tok Ayah, DK dan Adik) tiada kena- mengena dengan counter setting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pendedahan portal berita tempatan mendakwa tiga ‘ikan besar’ dikatakan individu penting dalam membawa masuk warga asing melalui modus operandi mengatur kaunter atau counter setting didalangi penguat kuasa agensi bertugas di pintu masuk udara negara masih bebas.
Portal itu juga mendakwa sekurang-kurangnya tiga individu dikenali sebagai ‘kartel’ penting iaitu Tok Yah atau Tok Ayah dan DK merupakan dua dalang utama selain dibantu oleh Adik dikatakan menjadi orang tengah dengan Jabatan Imigresen (JIM).
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta jumlah nama yang terlibat dalam sindiket counter setting daripada portal terbabit untuk disemak dan diserahkan kepada SPRM.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, seramai 50 penguat kuasa termasuk pegawai JIM yang ditahan terlibat dalam kegiatan counter setting kemungkinan akan didakwa Oktober ini.
“Kita nak mendakwa (suspek yang ditahan) tetapi saya jangka mungkin dalam Oktober ini. Saya nak tengok adalah (siasatan) kita telah disiap dan cuma kita kena bawa kepada pendakwa raya untuk keputusan mereka,” katanya.
SPRM sebelum ini membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.
Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan menerusi modus operandi counter setting. – UTUSAN