Tiga mangsa pelajar UiTM maut dirempuh SUV selesai dibedah siasat - Utusan Malaysia

Tiga mangsa pelajar UiTM maut dirempuh SUV selesai dibedah siasat

JENAZAH salah seorang daripada tiga pelajar UiTM Kampus Dungun yang maut dirempuh SUV diusung keluar oleh ahli keluarga di Unit Forensik Hospital Dungun, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Proses bedah siasat tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV berhampiran universiti itu, selesai dilakukan di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, kira-kira pukul 9 pagi ini.

Lebih 50 ahli keluarga dan kakitangan UiTM Dungun berkumpul di pekarangan unit forensik itu sejak awal pagi tadi.

Ahli keluarga ketiga-tiga mangsa dilihat saling berpelukan dan mengalirkan air mata ketika diberi peluang menatap jenazah kesemua mangsa sebelum dikafankan.

Ketiga-tiga jenazah kemudiannya dimandikan dan dikafankan di forensik itu sebelum dibawa dengan tiga buah van jenazah ke Masjid UiTM Dungun untuk disembahyangkan kira-kira pukul 10.10 pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam tadi, tiga penuntut UiTM itu maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun di hadapan UiTM tersebut.

Mangsa yang maut Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 meninggal dunia di lokasi kecederaan ekoran patah tulang leher dan cedera di bahagian kepala serta dada.

Seorang lagi mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, mengalami kecederaan di pinggang dan masih dirawat di Hospital Dungun.

Difahamkan, ketika kejadian keempat-empat mangsa baru sahaja selesai menikmati makan malam dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampus itu.

Jenazah Muhammad Akmal yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan akan dibawa pulang ke Muar, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam., Muar, Johor

Jenazah Khairil Anwar, 20, Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor manakala jenazah Ku Adib Aizad, 20, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN