Tiga beradik takluk dunia dengan pushbike - Utusan Malaysia

Tiga beradik takluk dunia dengan pushbike

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun 2019 menjadi perjalanan luar biasa tiga beradik ini dalam sukan pushbike. Ketika itu, sukan ini belum lagi popular, malah ada segelintir pihak memandang serong dengan aktiviti basikal lajak.

Namun pandangan itu tidak membunuh semangat bapa kepada tiga kanak-kanak ini, Datuk Seri Wan Mohd. Muzri untuk menyokong minat putera dan puterinya dalam sukan berkenaan.

Puteri sulung mereka, Mikayla baru berusia 4 tahun namun sudah menunjukkan minat untuk mencuba sukan pushbike. Pada awalnya, mereka hanya membeli basikal terpakai sekadar untuk menyokong minat puterinya.

Namun, selepas Mikayla dan anak kedua mereka, Mikael, 2, berpotensi untuk menyertai perlumbaan, mereka membeli basikal baru sebagai langkah awal menyertai perlumbaan pertama mereka.

 

“Bakat Mikael mula terserlah apabila dia memenangi perlumbaan pertamanya. Kejayaan demi kejayaan dicipta, membuka pintu rezeki apabila jenama Bike8 menaja basikal untuk perlumbaannya.

“Saya bersyukur jenama yang berpangkalan di China ini berminat dengan Mikael terutama selepas dia merangkul juara pertama di dunia dengan basikal tersebut dan menjadi model dalam katalog syarikat itu,” ujarnya.

Kejayaan dua beradik itu sekali gus menarik minat anak bongsu mereka, Maleeq Dragster yang turut menunjukkan semangat mengikuti jejak langkah abang dan kakaknya. Malah, dia tidak berhenti berlatih setiap hari walaupun baru berusia 3 tahun.

“Maleeq menunjukkan prestasi terbaik di peringkat antarabangsa dan dapat penajaan basikal dari syarikat Rockfish. Tahun lalu juga, dia berjaya mencipta sejarah sebagai juara dunia di Jepun selama dua tahun berturut-turut,” tambah Wan Muzri.

Lebih daripada sukan
Bagi Wan Muzri, pushbike bukan sekadar sukan tetapi pengalaman pembelajaran menyeronokkan untuk kanak-kanak. Daripada tidak tahu mengimbangkan diri, kanak-kanak mula mempelajari cara mengawal basikal dengan yakin.

“Latihan dijalankan bersama rakan menjadikan pushbike lebih mirip aktiviti bermain berbanding latihan yang membosankan. Selain sesi bersama rakan, mereka turut berlatih secara peribadi di rumah di bawah bimbingan saya.

 

“Saya turut membina sebuah gim mini khas untuk meningkatkan stamina mereka dan sebagai kemudahan latihan berterusan. Tetapi mereka juga tidak lupa kepada pendidikan di sekolah,” ujarnya.

Tambahnya sebagai ibu bapa, mereka menanamkan dalam jiwa anak-anak bahawa kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya mereka perlu berusaha, berlatih bersungguh-sungguh, dan sentiasa bersemangat untuk mencapai impian mereka.

“Kami tanamkan dalam tiga beradik ini, untuk berjaya, menang dan dapatkan sesuatu yang mereka inginkan, mereka perlu berusaha, berlatih, sabar dan jangan mudah putus asa,” katanya.
Kehebatan tiga beradik ini bukan sahaja diiktiraf di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Maleeq misalnya, mencatat sejarah sebagai pelumba pertama Malaysia yang menjadi juara di Jepun dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.

Mikayla dan Mikael juga meraih kejayaan di Filipina, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan banyak lagi.

Kongsi Wan Muzri lagi, populariti sukan pushbike semakin meningkat, sehingga mendapat perhatian malah Mikayla terpilih untuk memegang watak utama dalam drama bersiri Budak-Budak Pushbike yang akan disiarkan di TV1 tidak lama lagi.

“Ini merupakan penampilan lakonan pertamanya. Mikayla juga bakal terlibat dalam drama bersiri, Dzikir yang akan ditayangkan sempena Ramadan dan Raya tahun hadapan,” ujarnya.

FAHAM ERTI SEBENAR PERSAINGAN

Berlatih dan bertanding dalam banyak perlumbaan membantu tiga beradik ini memahami makna sebenar persaingan.

Jelas Wan Muzri, sebagai bapa, dia sentiasa berpesan kepada anak-anak untuk belajar bahawa usaha keras membawa mereka ke podium untuk menerima piala dan hadiah, tetapi untuk kekal di puncak, latihan yang konsisten dan disiplin adalah kunci.

“Adat permainan ada menang dan kalah. Ada ketika mereka tidak berjaya, mereka akan rasa sedih. Ibu bapa dan kawan-kawan yang akan bermain peranan untuk menaikkan semangat anak-anak.

“Jurulatih juga memainkan peranan penting dengan mengenal pasti kesilapan yang dilakukan semasa pertandingan, memberi peluang kepada tiga beradik ini untuk belajar dan mengelakkan kesalahan yang sama di masa hadapan.

“Bagi saya, kejayaan tidak diukur daripada kemenangan semata-mata, tetapi juga daripada nilai positif yang diperoleh daripada sukan, seperti meningkatkan stamina, kesihatan dan disiplin,” kongsinya.

Walaupun fokus utama mereka kini adalah pushbike, namun sebagai ibu bapa, Wan Muzri mula melatih mereka untuk menceburi bidang permotoran jika peluang terbuka.

Katanya, kolaborasi dengan Team M8 Malaysia, Team ZK Racing dan Minigp Malaysia yang disokong oleh Sepang International Circuit (SIC) membuka peluang untuk anak-anak pushbike, termasuk tiga beradik ini, untuk menyertai bidang permotoran melalui program M8 Pocket Bike dan Minigp Malaysia.

“Kami masih fokus pada sukan basikal. Insya-Allah jika diberi peluang, mungkin mereka akan disambung ke bidang permotoran,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya