Tiga agenda utama dicapai menutup AMCA Ke-11

Tiga agenda utama dicapai menutup AMCA Ke-11

AB. RAUF Yusoh dan Tiong King Sing bersama menteri-menteri kebudayaan dan kesenian ASEAN pada Majlis Makan Malam Gala AMCA Ke-11 dan AFA 2024 di Dataran Pengkalan Rama, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga agenda utama dicapai pada Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) Ke-11 dan Mesyuarat Pegawai Kanan Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (SOMCA) Ke-20 yang berakhir semalam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kesemuanya dilihat mampu meningkatkan kerjasama budaya dan persefahaman dalam kalangan anggota ASEAN serta rakan dialog termasuk China, Jepun dan Korea Selatan.

Menurutnya, agenda utama ialah menetapkan hala tuju strategik kerjasama budaya; kedua, mengemas kini program budaya yang sedang berlangsung; dan ketiga, membincangkan cadangan menubuhkan pasukan petugas peringkat tertinggi menerusi Pelan Strategik Kebudayaan dan Kesenian ASEAN selepas 2025.

“Inisiatif ini menekankan kepentingan warisan budaya dalam memupuk perpaduan dan kerjasama di rantau ini. Kami teruja menyatukan negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog termasuk China, Jepun dan Korea Selatan.

“Saya percaya melalui penganjuran mesyuarat AMCA, ia membawa banyak faedah, termasuk meningkatkan profil Malaysia dalam komuniti ASEAN serta memupuk kerjasama serantau serta mempamerkan kekayaan kita melalui kepelbagaian budaya,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala AMCA Ke-11 dan Festival of Arts (AFA) 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini, semalam.

Tambah Ab. Rauf, memandangkan Malaysia dilantik sebagai Pengerusi AMCA-MY dari 2024 hingga 2026, ia sekali gus menjadikan Melaka diiktiraf sebagai Bandar Budaya ASEAN.

Menurutnya, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah AMCA adalah sejajar dengan inisiatif Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 serta meningkatkan peluang mempromosikan negeri ini dan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya