“BERGELAR adik kepada Khai Bahar adalah satu rezeki. Saya berlapang dada kalau dikata tumpang populariti dia.”
Demikian respons penyanyi baharu, Kyra Bahar apabila ditanya sekiranya ada yang menganggap dia tumpang populariti abangnya, Khai Bahar untuk dikenali dalam dunia seni suara.
Kyra atau nama sebenarnya, Nurul Syakira Baharuddin, 28, menerima dengan positif perkara itu.
Masakan dia perlu menidakkan hakikat bahawa dia adalah adik kepada penyanyi terkenal itu semata-mata tidak mahu dituduh menumpang glamor abangnya.
Bagi Kyra, mengaku atau tidak, lambat laun masyarakat pasti mengetahui kebenaran. Biarlah orang tahu statusnya sebagai adik penyanyi lelaki popular itu, tidak perlu dia beriya menidakkan hakikat.
“Kalau saya berniat tumpang populariti dia, mestilah dari awal saya sudah berduet dengan Khai dalam lagu.
“Apa pun saya tetap anggap diri saya bertuah kerana abang saya penyanyi terkenal. Tidak dina kan peminat Khai juga memberi sokongan kepada pembabitan saya sebagai penyanyi. Tapi kalau boleh saya mahu kumpul peminat sendiri.
“Kalau orang kata saya tumpang populariti abang, saya tidak boleh tutup mulut mereka. Saya adik Khai Bahar, hakikat itu saya tak boleh tidakkan,” katanya kepada Pancaindera.
Kata Kyra, lima tahun dia mengumpul kekuatan untuk memberanikan diri mengikut jejak langkah abangnya menjadi penyanyi. Dan dua tahun kebelakangan ini barulah dia berfikir semasak-masaknya untuk mengejar impian tersebut.
“Dulu, arwah ibu beberapa kali suruh saya ke Kuala Lumpur, kejar cita-cita jadi penyanyi. Tapi saya enggan sebab saya tidak boleh berpisah dengan arwah mak ketika itu. Pada masa sama, bekas suami juga tidak memberi kebenaran.
“Malah saya juga pernah ditawarkan sertai rancangan Famili Duo bersama Khai. Tapi saya tolak, sebab mahu jaga emak yang sakit waktu itu.
“Akhirnya saya bercerai, ibu pun sudah tiada. Saya tidak tahu apa yang hendak saya lakukan. Saya ingat semula pesan emak, sebab itu saya beranikan diri jadi penyanyi.
“Saya sudah bersedia. Sebelum buat keputusan, Khai ada menasihatkan agar saya persiapkan diri untuk berdepan reaksi masyarakat, termasuklah kecaman bila bergelar artis. Katanya, hati kena kuat. Saya tahu saya sudah bersedia,” jelasnya.
BERDERAI JIWA
ADA cerita dan luahan yang tersirat dalam lagu ciptaan Ismisham dan Zimi, yang dinyanyikan Kyra ini.
Kyra tidak mena kan lagu itu adalah cerita hidupnya, mengisahkan pengalaman perit dan sakitnya dek kegagalan rumah tangga keduanya sebelum ini.
“Saya sudah dua kali mengalami kegagalan berumah tangga. Dengan bekas suami pertama, kami berpisah secara baik tanpa bermasam muka atau menyimpan dendam.
“Selepas bercerai, saya berkahwin pula dengan suami kedua namun jodoh juga tidak berpanjangan. Saya sedih, ditinggalkan bekas suami dalam keadaan saya struggle menjaga arwah ibu yang sedang sakit selain membesarkan seorang anak hasil perkahwinan pertama.
“Dalam lagu Berderai Jiwa saya luahkan semuanya. Perasaan kecewa yang saya pendam apabila ditinggalkan. Saya tawar hati kerana tidak dapat perhatian sebagai seorang isteri,” kongsinya.
Dua kali gagal berumah tangga, Kyra menutup terus pintu hatinya untuk lelaki. Bahagianya adalah bersama anak, tidak perlu hadir lagi mana-mana lelaki dalam hidupnya.
“Hati saya sudah tertutup, saya tak mahu lagi bercinta atau berumah tangga. Cukuplah, saya trauma.
“Fokus saya hendak cari rezeki untuk besarkan anak yang kini berusia lapan tahun. Bagi saya itu sudah cukup membahagiakan.
“Dulu saya sangka saya tak boleh hidup tanpa pasangan, sekarang baru saya tahu saya silap,” jelasnya.
YAKIN PADA REZEKI
“TIDAK terlambatkah bergelar penyanyi pada usia 28 tahun?” Itu pertanyaan saya kepada Kyra yang baru mencari tapak dalam dunia seni suara pada usia penghujung 20-an. Penyanyi ini bersikap optimis. Baginya usia bukan penghalang.
“Tak mengapalah bermula lambat sekalipun, rezeki Allah yang tentukan. Saya teruskan sahaja.
“Dulu saya pemalu, kalau boleh memang tak mahu jadi artis. Nyanyi pun sekadar suka-suka.
“Tapi saya buang perasaan malu. Dan saya terinspirasi tengok abang saya berjaya sebagai penyanyi. Saya juga mahu jadi sepertinya.
“Bila sudah berjaya, saya mahu tolong adik beradik lain. Seperti mana yang Khai lakukan untuk keluarganya,” katanya.