SELEPAS mengendalikan acara berprestij, Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) baru-baru ini, nama pelakon dan pengacara, Riena Diana mula menjadi sorotan dalam kalangan warganet.
Selain menerima pujian dan komen yang positif, pelakon itu juga tidak terlepas daripada kritikan dan kecaman yang berbaur kurang senang dengan cara pengacaraannya di malam kemuncak acara tersebut.
Mana tidaknya, ada yang menyifatkan Riena terlampau gedik dan nyaring ketika mengacara bersama hos gandingannya, Didie Alias dan Hani Hamzah.
Malah, ada juga yang mula meluahkan rasa meluat apabila kisah percintaannya bersama aktor, Keith Foo sering dijadikan bahan hiburan. Jawablah mendapatkan Riena!
Rasa puas dengan pengacaraan ABP baru-baru ini? Sudah buka cabang baru dalam karier seni? Ramai juga yang suka pengacaraan Riena.
Memandangkan ini pertama kali saya menjadi hos acara besar, saya rasa saya sudah buat yang terbaik.
Saya tidak mahu fokus dengan perkara negatif sebab perkara itu akan buat saya tidak yakin di masa akan datang. Alhamdulillah, selepas ABP saya sudah dapat beberapa tawaran untuk mengacara.
Mungkin ada pihak yang percayakan saya dan yakin saya boleh buat lebih baik daripada sebelum ini.
Tetapi dalam suka itu, ada juga yang kurang berkenan. Ada yang cakap over-do, banyak terjerit-jerit. Apa komen Riena?
Saya pilih untuk tidak membaca komen. Saya hanya ambil yang positif sebab ini pertama kali saya jadi hos untuk acara sebesar itu.
Bukan semua orang boleh kendalikan pentas sebesar itu. Orang tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir. Macam mana saya menggigil, takut, tiada keyakinan diri untuk berdiri di atas pentas itu.
Tetapi, saya rasa saya mengatasi situasi itu dengan baik walaupun baru pertama kali. Bagi saya, pertama kali itu sentiasa ada. Kalau saya tidak cuba, macam mana saya hendak tahu kemampuan saya.
Malah ada yang mula rasa kurang senang apabila hubungan Riena dan Keith juga menjadi bahan hiburan. Ada yang cakap, sudah-sudahlah.
Sebenarnya, benda itu tidak ada dalam skrip dan spontan. Saya hanya bersikap profesional apabila hos gandingan saya melontarkan usikan itu di atas pentas.
Lagipun, kami bukan sentiasa bercakap tentang Keith. Boleh kira beberapa kali saja. Apa pun, saya percaya kita sentiasa ada ruang untuk perbaiki.
Saya juga percaya semua orang ada pendapat tersendiri. Saya hormati pendapat mereka.
Riena rasa ada orang suka atau tidak melihat perkongsian kebahagiaan Riena atau macam mana?
Kalau orang tidak suka, saya rasa itu masalah hati mereka. Terpulang kepada mereka hendak bercakap apa pun sebab itu memang kerja mereka. Normal kalau ada yang suka dan tidak suka. Asalkan ada orang suka, saya rasa itu lebih bermakna. Saya pun sudah buat yang terbaik.
Selepas ABP, Riena mahu teruskan pengacaraan pula? Ada gaya sendiri kata orang?
Saya rasa setiap pengacara yang berjaya seperti Sherry Al Hadad, Elly Mazlein dan Alif Satar mungkin mereka juga pernah melalui kecaman-kecaman itu. Tetapi, lihat sekarang mereka di mana.
Jadi, saya percaya, kalau saya perbaiki kelemahan saya, saya akan berjaya seperti mereka. Jadi, tiada yang lama, tiada yang baru. Akan datang nanti pun saya akan tetap buat yang terbaik.