PETALING JAYA: Kerajaan tidak sepatutnya menghukum kumpulan pelajar cemerlang hanya kerana mereka dari keluarga kaya dengan menafikan subsidi pendidikan.
Ketua Penerangan Parti Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, definisi subsidi pendidikan perlu dilihat dari perspektif bantuan pendidikan dan bukannya biasiswa semata-mata.
Katanya, pihaknya mengalu-alukan langkan Kerajaan Madani ingin bersikap tegas dalam pemberian bantuan pendidikan kepada mereka yang benar-benar layak, namun tidak patut dilabelkan mengikut kategori sosio-ekonomi individu tersebut.
“Keadilan dalam pendidikan adalah sangat penting, dan latar belakang keluarga seorang kanak-kanak tidak seharusnya mempengaruhi peluang mereka untuk menerima pendidikan berkualiti.
“Kerajaan perlu mengambil langkah untuk memastikan semua pelajar, tanpa mengira status ekonomi keluarga mereka, mendapat sokongan dan sumber yang diperlukan.
“Ini termasuk biasiswa, bantuan kewangan, serta bantuan lain. Dengan cara ini, keadilan pendidikan dapat dicapai, dan setiap kanak-kanak berpeluang untuk mengembangkan potensi mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi kepada golongan kaya dalam sektor pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini agar pemberian subsidi itu hanya untuk golongan miskin dan benar-benar layak.
Menurut Wendy, anak dari keluarga yang kaya tidak bermakna mereka secara automatik kaya dari segi peribadi.
Justeru, katanya, kanak-kanak yang memperoleh keputusan cemerlang melalui usaha mereka sendiri sepatutnya mendapat layanan yang adil daripada sistem pendidikan negara.
“Selepas tamat pengajian, mereka juga akan menyumbang kepada negara dan masyarakat serta berkemungkinan mencipta nilai yang lebih besar.
“Oleh itu, kerajaan tidak seharusnya mengabaikan usaha mereka, pendidikan harus adil kepada semua kanak-kanak dan inilah pendekatan yang betul,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan perlu merangka laluan pembangunan pendidikan domestik dan perancangan masa depan bagi pelajar dengan lebih tepat bagi melahirkan lebih ramai bakat yang sesuai dengan keperluan negara dan masyarakat.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada negara dan masyarakat, malah mewujudkan nilai sosial yang lebih besar bagi pelajar, seterusnya mencapai matlamat sebenar pendidikan,” katanya. – UTUSAN