HULU TERENGGANU: Hasrat pekebun warga emas, Musa Ahmad, 65, untuk menjemput tetamu bagi majlis sambut menantunya tidak kesampaian setelah ditemukan maut akibat diserang gajah liar di Kampung Basung, dekat sini, semalam.
Menurut anaknya, Siti Dayang Suhana Musa, 31, ayahnya bersungguh-sungguh menyatakan keinginan untuk menyampaikan kad jemputan kepada tetamu ketika berbual bersama ibu, Fatimah Ibrahim, 55, pada malam Jumaat.
“Ayah ada maklumkan kepada emak, biar dia sahaja pergi sendiri agihkan kad jemputan kenduri sambut menantu, jemput orang ramai pada Jumaat iaitu hari sama ayah didapati hilang.
“Kenduri sambut menantu akan diadakan 19 Oktober depan selepas adik saya yang juga anak kelima, Hussin Musa, 29, selamat langsungkan perkahwinan 7 September lalu di Marang.
“Ayah baru sempat agihkan dua kad jemputan pada jiran terdekat. Selebihnya jemputan akan dilakukan pada Jumaat, namun hasratnya tidak kesampaian setelah ayah tidak pulang setelah keluar ke kebun pada hari itu sebelum ditemukan meninggal dunia Sabtu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah anak keempat daripada 10 beradik ini, mereka sekeluarga tetap meneruskan majlis seperti dirancang kerana pelbagai persiapan telah dilakukan namun akan turut adakan kenduri tahlil untuk arwah ayahnya.
Ujarnya, walaupun sedih dengan kejadian menimpa tetapi dia sekeluarga reda dengan ketentuan-Nya dan kerinduan sedikit-sebanyak terubat kerana ayahnya mempunyai kembar, Isa Ahmad, n65, yang punyai wajah seiras serta turut tinggal di kampung sama.
“Jenazah arwah ayah selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.30 petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Basung,” ujarnya
Terdahulu, Utusan Malaysia hari ini melaporkan melaporkan seorang warga emas maut ditemui maut kira-kira pukul 7.15 pagi akibat diserang gajah liar ketika keluar ke kebunnya pada Jumaat. – UTUSAN
.