KUALA LUMPUR: Ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu tidak adil, kerana dalang utama masih bebas.
Anak Najib, Nooryana Najwa mendakwa keputusan mahkamah terhadap bapanya yang diarah membela diri terhadap pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengecewakan.
Kata beliau, bapanya itu tidak sepatutnya menanggung akibat secara sendirian sedangkan skandal 1MDB itu membabitkan ramai individu termasuk organisasi.
“1MDB ialah rangkaian rasuah sistemik yang melibatkan institusi kewangan global, kegagalan tadbir urus di setiap peringkat dan keterlibatan agensi tempatan dan entiti asing.
“Namun, hanya seorang yang menerima akibat. Ini bukan keadilan. Dalang sebenar kekal bebas, terlepas daripada akauntabiliti,” katanya menerusi perkongsian di Instagram, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Najib iaitu pembuat keputusan muktamad (ultimate decision maker) dalam skandal penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menyatakan, berdasarkan bukti-bukti pendakwaan, Najib jelas mempunyai kepentingan peribadi dan turut memainkan peranan utama bermula daripada penubuhan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) sehingga syarikat terbabit ditukar nama kepada 1MDB.
Berdasarkan keterangan dan bukti-bukti juga, mahkamah mendapati bekas Presiden UMNO itu telah menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan dengan melakukan pelbagai tindakan sehinga menyebabkan jutaan wang masuk ke akaunnya.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB.
Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga menghadapi lima pertuduhan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan; RM246,000 kepada Lim Soon Peng; RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn. Bhd. dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. – UTUSAN