Tiada stesen janakuasa elektrik arang batu baharu dibuka 

Tiada stesen janakuasa elektrik arang batu baharu dibuka 

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof  menegaskan, tiada stesen janakuasa elektrik arang batu baharu akan dibuka di Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, penjanaan bahan api itu juga akan dikurangkan secara berperingkat.

Menurut beliau, perkara itu seiring dengan saranan Agensi Tenaga Antarabangsa bahawa pengurangan pergantungan kepada arang batu adalah penting untuk menghadkan pemanasan global yang sedang berlaku.

“Menjelang 2035, kerajaan bercadang untuk meningkatkan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus bagi membolehkan integrasi yang lebih besar bagi sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Kita akan meningkatkan fleksibiliti grid dengan melabur dalam grid pintar, pendigitalan dan sistem penyimpanan tenaga,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Clean Energy Transition Asia (CETA) Summit 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan juga bercadang mempertingkatkan inovasi, menarik pelaburan dan menyesuaikan infrastruktur tenaga dengan permintaan landskap global yang berkembang pesat membabitkan komitmen Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

“Kerajaan memperkenalkan Skim Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) yang menggalakkan pengguna korporat untuk melabur dan memperoleh tenaga boleh diperbaharui secara langsung daripada pengeluar solar melalui akses grid pihak ketiga.

“Pelaksanaan CRESS dan garis panduannya yang akan datang mencerminkan komitmen teguh kerajaan terhadap liberalisasi grid dan tekad untuk memupuk pasaran tenaga yang berdaya saing, cekap dan berdaya tahan di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga berusaha untuk mengintegrasikan grid kuasa serantau bagi menyokong dan meningkatkan keselamatan tenaga dalam kalangan negara ASEAN.

“Grid serantau yang bersepadu juga boleh menjadi pemangkin ekonomi dalam memupuk kerjasama serantau melalui perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan.

“Dengan berkongsi lebihan tenaga, kerajaan boleh mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil disamping membina infrastruktur tenaga ASEAN yang bersepadu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya